Ibu Betty Banafe meninggal dunia
3 NOVEMBER 2021
KUALA LUMPUR: Ibu Betty Banafe, Fauziyah Gholib Nagib, 82, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru, Johor, akibat jangkitan kuman dalam darah, pada jam 4.15 pagi tadi.
Betty atau nama sebenar, Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe memberitahu, selain jangkitan kuman dalam darah, arwah ibunya bertarung nyawa dengan pelbagai komplikasi penyakit lain termasuk tumor otak sejak 2010.
Betty berkata, ibunya dimasukkan ke hospital sejak dua hari lalu.
"Ibu menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang ketika tidur. Dia pergi tanpa disedari kerana tiada bunyi seperti orang nazak.
"Nafasnya terhenti dengan baik dan mudah. Disebabkan tumor otak, dia tidak merasai kesakitan dialami. Ibarat dia tahu dirinya sakit, tapi seperti tidak diendahkan.
Selain jangkitan kuman dalam darah, Allahyarham Fauziyah Gholib mempunyai pelbagai komplikasi penyakit lain termasuk tumor otak sejak 2010. Foto Ihsan Betty Banafe
"Pada hujung usianya, daya ingatan ibu tidak bagus. Dia seperti ingat-ingat lupa. Malah, mukanya mula membengkak kerana jangkitan kuman dan kegagalan buah pinggang," katanya kepada BH Online.
Betty berkata, ketika mula disahkan mempunyai masalah tumor otak, doktor pernah meramalkan hayat arwah bertahan dua tahun sahaja.
"Bagaimanapun selepas 2013, nyawa ibu saya masih panjang dan terus bertahan. Kami anak-anak arwah reda dengan takdir tertulis ini.
"Malah, kami anak-beranak berlumba-lumba menjaganya dan berkongsi kasih sayang. Ibu memang segala-galanya untuk kami," katanya.
Betty berkata, biarpun dalam keadaan separa sedar, ibunya sering memuji Ilahi.
"Semoga pemergian ibu akan dipermudahkan dan mendapat husnul khatimah... Ramai sayangkan ibu," katanya.
Jenazah ibunya akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Bukit Aliff di Johor Bahru.
Allahyarham Fauziyah Gholib meninggalkan lima anak dan 18 cucu.
Comments