top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Ibu didakwa cuai selepas anak lelaki meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat 16

15 Disember 2021

SELAYANG: Air mata mengalir di pipi seorang ibu berusia 24 tahun ketika didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia 5 tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium.


Wanita yang tidak dapat dikenal pasti itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di hadapan hakim Nor Rajiah Mat Zin.


Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu, selaku orang yang menjaga kanak-kanak itu, telah mengabaikan budak itu sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Lebuh Raya Selayang-Kepong, Gombak, antara 9.45 pagi dan 10.48 pagi pada 17 Nov.


Pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh serta syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Ibu kepada dua orang anak itu menangis ketika dia merayu untuk mendapatkan jaminan yang lebih rendah kerana dia mempunyai seorang anak berusia 4 tahun yang perlu dia jaga dan dia masih belum pulih daripada kehilangan anaknya.


"Saya seorang suri rumah dan tidak mampu membayar wang jaminan... Saya masih ada seorang lagi anak yang perlu dijaga. Kesihatan saya tidak stabil selepas kehilangan anak saya," katanya sambil memberitahu suaminya bekerja sebagai penghantar makanan.


Tertuduh tidak diwakili peguam.


Nor Rajiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di balai polis sebulan sekali.


Kes itu akan disebut pada 13 Jan tahun depan.


Dilaporkan pada 17 Nov lepas, seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah unit kondominium di Batu Caves, Gombak, di sini.


Kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila ibu saudara budak itu yang berada di dalam rumah tiba-tiba menyedari anak saudaranya tiada di dalam biliknya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat katil di tepi tingkap yang tidak mempunyai jeriji.


Katanya, dipercayai mangsa terjatuh dari tingkap.

bottom of page