top of page
  • newsatmy

IMF saran hutang isi rumah Malaysia dipantau

22 Mac 2021 HUTANG isi rumah di negara ini perlu dipantau secara rapat memandangkan terdapat potensi peminjam berdepan tekanan susulan berakhirnya secara beransur-ansur moratorium pinjaman, demikian menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).


Hutang isi rumah di negara ini meningkat kepada 87.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Jun 2020 berbanding 82.9 peratus pada 2019.


Ujian tekanan yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) juga menunjukkan isi rumah berpendapatan rendah terdedah yang mana peminjam dengan pendapatan bulanan di bawah RM3,000 menyumbang 66 peratus peminjam yang dijangka gagal membayar balik pinjaman pada akhir 2021.


Walaupun rosot nilai pinjaman mungkin tidak menimbulkan risiko sistemik yang besar kerana peminjam sedemikian hanya mewakili 17.1 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang isi rumah sistem perbankan pada akhir Jun 2020, IMF mengingatkan bank dan penyelia harus bersedia untuk menangani kemungkinan peningkatan rosot nilai pinjaman isi rumah ketika moratorium berakhir secara beransur-ansur.


"Hutang isi rumah yang tinggi memerlukan pemantauan rapat kerana peminjam mungkin menghadapi tekanan yang semakin meningkat dengan berakhirnya secara beransur-ansur moratorium pinjaman.


"Penambahbaikan yang dilaksanakan pihak berkuasa terhadap kerangka penyelesaian hutang juga amat dialu-alukan," katanya dalam Laporan Kakitangan Untuk Perundingan Artikel IV 2021 yang diterbitkan baru-baru ini.


IMF berkata, dasar Bank Negara Malaysia (BNM) membantu mengekang impak pandemik terhadap kewangan makro dengan pelaksanaan moratorium pinjaman, kemudahan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta galakan penstrukturan semula pinjaman berhemah dan fleksibiliti peraturan yang sesuai menyokong prestasi sektor kewangan.


Ia berkata, pelaksanaan moratorium pembayaran balik pinjaman automatik sehingga September 2020 memberikan kelegaan kepada 95 peratus isi rumah dan PKS.


"Dengan keadaan kewangan pulih sedikit, sekitar 85 peratus peminjam sudah membayar pinjaman mereka bermula Oktober 2020.


"Sokongan BNM terhadap inovasi dan pendigitalan kewangan juga menyumbang kepada peningkatan penggunaan e-pembayaran ketika pandemik," katanya.


Menyentuh mengenai pengurusan monetari di negara ini, IMF berkata, pendirian dasar monetari yang akomodatif adalah sesuai dan pihak berkuasa pengawal selia kewangan harus kekal berwaspada.


Ia berkata, petunjuk memperlihatkan bahawa kecairan sesuai, pasaran berfungsi dengan lancar dan sistem perbankan kukuh dari segi kewangan.

Katanya, inisiatif pihak berkuasa untuk mendalamkan pasaran tukaran asing (FX) domestik dialu-alukan dan perlu diteruskan.


"Tindakan baru-baru ini meningkatkan kecekapan dan memperluas instrumen lindung nilai sedia ada.


"Pihak berkuasa harus terus membenarkan kadar tukaran mengatasi kejutan terhadap ekonomi," katanya.


IMF berkata, tumpuan pihak berkuasa terhadap keterangkuman dan perubahan iklim dalam konteks pembaharuan struktur kewangan amat menggalakkan.


Ia berkata, keutamaan semasa meluluskan lesen bank digital adalah cadangan nilai yang akan meningkatkan bidang yang masih ketinggalan dari segi perkhidmatan kewangan, sekali gus satu langkah yang dialu-alukan dalam konteks peningkatan kepentingan e-pembayaran ketika pandemik COVID-19.

-BH Online

bottom of page