top of page
  • admin

Implikasi nikah di Thailand


PUTRAJAYA, 11 Jan- Pasangan yang mengambil keputusan untuk bernikah di luar negara terutama di Thailand perlu sedar mengenai implikasi bakal dihadapi mereka pada masa akan datang. Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Abdul Halim Muhammad berkata meskipun pernikahan tidak melanggar syarak di sisi Islam jika memenuhi rukun nikah namun beberapa perkara perlu disemak sebelum terjebak dengan sindiket atau proses pernikahan tidak sah. "Apabila pernikahan tidak sah maka implikasi yang lain akan datang apa dia, yang pertama status anak-anak yang lahir untuk didaftarkan tidak pun didaftarkan atau pun dinasabkan kepada bapa mereka isu dari sudut isteri. Isteri yang dikahwini juga akan menerima kesannya apakah implikasinya? "Implikasinya melibatkan dia hilang kelayakan untuk menuntut hak hak isteri, nafkah hak sebagai harta sepencarian dan sebagainya dan ini tentu sekali merugikan kepada bakal isteri atau pun isteri yang telah dikahwini yang susah payah untuk berkahwin tapi akhirnya mereka pulang ke Malaysia dalam keadaan pernikahan mereka tidak sah," kata Abdul Halim di sini.


Berdasarkan Seksyen 40 (2) Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, jika pasangan tersebut lewat dan gagal mendaftarkan perkahwinan melebihi enam bulan, mereka akan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Bercakap di Putrajaya beliau menjelaskan, mengikut kajian pasangan yang memilih untuk bernikah di Thailand adalah berdasarkan beberapa faktor, antaranya tidak mendapat restu keluarga, suami yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri serta desakan wang hantaran yang tinggi. Beliau menegaskan mahkamah syariah di Malaysia adalah medan terbaik bagi suami yang ingin berpoligami dengan menggunakan saluran undang-undang betul. Beliau turut menasihati golongan lelaki agar memahami secara menyeluruh tujuan berpoligami bagi mengelak perbalahan dan kegagalan membahagi hak sama rata sehingga menyebabkan kesengsaraan dalam institusi keluarga.

Comments


bottom of page