• Arissa Azman

Individu lengkap divaksin tidak perlu kuarantin masuk ke Sabah

6 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri melonggarkan syarat kuarantin wajib terhadap individu yang lengkap divaksin untuk masuk ke Sabah berkuat kuasa serta merta.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun menerusi akaun Twitternya memaklumkan tiada lagi kuarantin wajib terhadap individu yang lengkap divaksin untuk masuk ke Sabah, kecuali individu yang datang dari luar negara.


Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah yang dikeluarkan semalam.


Berdasarkan SOP terkini, kemasukan ke Sabah tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib kecuali bagi individu yang belum lengkap divaksin dan juga individu bergejala semasa saringan kesihatan di pintu masuk. Kuarantin wajib juga perlu bagi individu yang datang dari luar negara.


Walau bagaimanapun, ujian saringan Transkripsi Balikan -Tindak balas Berangkai Polimerase (RT-PCR) atau Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) masih perlu dilakukan dan mestilah negatif.


Tempoh sah laku RTK-Ag adalah sehari dan RT-PCR adalah tiga hari sebelum perjalanan masuk ke Sabah dan ujian hendaklah disahkan oleh klinik atau makmal yang melakukan ujian Covid-19 tersebut.


Kemasukan ke Sabah masih tertakluk kepada kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merentas negeri dan penilaian risiko oleh petugas kesihatan di pintu masuk utama Sabah.