top of page
  • admin

Industri TIV sektor automotif dijangka cecah 700,000 unit tahun ini


KUALA LUMPUR, 10 Jan- Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sektor automotif dijangka mencecah 700,000 unit tahun ini, sekiranya momentum jualan kenderaan tahun lalu dapat diteruskan. Pemangku Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Datuk Mohamed Nazari Noordin yakin jualan diunjur kekal kukuh meskipun berdepan cabaran ekonomi global. Katanya, daripada aspek pengeluaran, kekurangan komponen kenderaan dijangka masih berlaku kerana gangguan rantaian bekalan global hingga mempengaruhi harga kenderaan. Bagaimanapun, ia tidak akan memberi impak ketara kepada industri.

"Kita hendak tengok juga berapa peratus kenaikan harga kereta itu, adakah ianya akan memberi impak yang besar kepada jualan ataupun tidak. Kalau kita tengok permintaan untuk kenderaan di Malaysia ini, dia lebih kepada disebabkan kereta dan motosikal ini memang sudah jadi barang keperluan oleh rakyat Malaysia. "Disebabkan peratus kenaikan harga itu adalah kecil, ianya tidak memberi impak yang besarlah kepada permintaan atau kejatuhan kepada permintaan kenderaan baru disebabkan ianya adalah barang keperluan untuk industri pengangkutan," katanya. Tambah Mohamed, faktor kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak akan menjejaskan industri automotif sekiranya tidak melibatkan kadar kenaikan ketara.


bottom of page