top of page
  • newsatmy

Ini 10 perkara yang anda perlu tahu mengenai Olimpik Tokyo

16 Julai 2021

KUALA LUMPUR - Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang terpaksa ditangguhkan beberapa kali berikutan pandemik yang melanda dunia kini bakal membuka tirai secara rasminya pada 23 Julai depan.


Pastinya, sukan berprestij itu tidak mungkin sama dan semestinya berbeza dengan prosedur operasi standard (​SOP) yang ketat.


Atlet bukan saja perlu mengelak daripada dijangkiti COVID-19 tetapi juga perlu memastikan mereka tidak tersenarai dalam kontak rapat dengan mana-mana pesakit virus berkenaan ketika berada di Tokyo.


Malah mereka juga perlu menjalani saringan sebanyak tiga kali sebelum berlepas dari negara asal.


Berikut 10 perkara menarik mengenai Olimpik XXXII:


1. Penyertaan lebih 11,500 atlet


Lebih 11,500 atlet akan mengambil bahagian dengan 49 peratus daripada mereka adalah wanita. Bagi sukan paralimpik lagi pula, hanya 40.5 peratus sahaja atlet wanita.


Beberapa atlet bertindak menarik diri ekoran SOP yang melarang mereka untuk membawa peminat atau mana-mana individu.


Setakat ini, tenis sukan Olimpik sudahpun kehilangan ramai bintang seperti Rafael Nadal, Dominic Thiem, Stanislas Wawrinka, Nicholas Kyrgios, Serena Williams, Simona Halep dan Bianca Andreescu mengumumkan tarikh diri daripada sukan itu.


Pemilik 20 gelaran Grand Slam, Roger Federer dan bintang Great Britian, Johanna Konta menjadi nama besar terbaharu menarik diri daripada acara tenis di Sukan Olimpik Tokyo 2020.


Selain mereka, juara Wimbledon 2021, Novak Djokovic yang menyatakan peluangnya untuk beraksi dalam Olimpik Tokyo adalah 50-50.


2. Sejumlah 339 pingat akan dipertandingkan


Olimpik Tokyo bakal menyaksikan 339 pingat dipertandingkan bagi 33 sukan pelbagai jenis, meliputi 42 lokasi di Jepun.


3. PIngat sukan Olimpik Tokyo diperbuat daripada logam komputer dan telefon terpakai

Istimewanya edisi kali ini, atlet yang meraih pingat akan dikalungkan dengan pingat yang dihasilkan daripada bahan terpakai dan 6.2 juta peranti elektronik terbuang termasuk yang terbuang di laut.

4. Sejumlah 62 peratus populasi Jepun mahukan sukan itu ditangguh, dibatal


Kaji selidik yang dijalankan ke atas penduduk tempatan pada 21 Jun lalu mendapati 62 peratus daripada mereka mahukan sukan Olimpik ditangguh atau dibatalkan, manakala hanya 34 peratus bersetuju agar sukan itu diteruskan.


Ia turut disokong oleh lebih 6,000 pegawai perubatan yang mewakili Persatuan Perubatan Tokyo yang menggesa sukan berprestij itu dibatalkan dengan melibat kekurangan kapasiti hospital di negara itu.


5. Kira-kira 17.9 peratus populasi Jepun divaksinasi


Berdasarkan data dalam Our World, setakat 11 Julai lau, hanya kira-kira 17.9 peratus daripada populasi negara itu lengkap divaksinasi, berbanding 51.2 peratus di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (47.6 peratus), Rusia (12.9 peratus).


6. Sebanyak AS$15.4 bilion (RM64.66 bilion) dibelanjakan


Kerajaan Jepun membelanjakan lebih RM64.66 bilion dengan AS$6.7 bilion (RM28.13 bilion) daripada kutipan cukai rakyat sebagai kos penangguhan.


7. Hampir 80 peratus atlet telah menerima vaksin COVID-19


Kira-kira 80 peratus atlet daripada 10, 900 atlet yang layak ke Olimpik Tokyo 2020 telah menerima vaksin COVID-19. Kesemua mereka menerima suntikan Pfizer-BioNTech.


Sekiranya disahkan positif jangkitan itu, mereka akan diasingkan dan tidak dibenarkan menyertai temasya sukan itu.


8. Tiada penonton, namun wartawan dibenarkan


Sukan Olimpik kali ini buat pertama kalinya akan berlangsung tanpa penonton, namun kakitangan sokongan dan wartawan dibenarkan untuk membuat liputan.


9. Tokyo menjadi tuan rumah untuk kali kedua


Olimpik Tokyo 2020 merupakan kali kedua sukan itu diadakan di Jepun. Pertama kali diadakan di Tokyo pada 1964.


10. Katil atlet Olimpik Tokyo diperbuat daripada kadbod


Rangka katil untuk para atlet Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung antara 24 Julai dan 9 Ogos depan akan diperbuat daripada kadbod yang dikitar semula.


Tilam untuk katil itu pula adalah dalam bentuk politilena yang akan digunakan semula untuk produk plastik selepas temasya sukan tersebut berlangsung.


bottom of page