• Arissa Azman

Ini satu penderaan, saya bukan 'hamba' kepada sesiapa - Britney Spears mahu bebas

26 Jun 2021

LOS ANGELES: "Saya hanya mahukan kehidupan saya kembali seperti biasa… Saya bukan ‘hamba’ kepada sesiapa. Saya alami tekanan, tidak boleh tidur dan saya tidak gembira dengan kehidupan ini.."


Demikian antara luahan ratu pop dunia, Britney Spears di Mahkamah Los Angeles, Amerika Syarikat pada Rabu (waktu tempatan) dalam kenyataan rayuannya yang memohon untuk menyingkirkan bapanya, Jamie Spears, sebagai ‘penjaga’ (conservator), lapor Reuters.


Bapa Britney, Jamie Spears sebelum ini mula memikul peranan tersebut selepas menerima arahan mahkamah pada 2008 susulan Britney didakwa mengalami masalah kesihatan mental.


Hak itu sudah berlarutan selama 13 tahun dan nyata ibu kepada dua anak ini tidak mahu hal berkenaan terus menjejaskan kehidupannya.


Dengan ‘hak’ yang diberi kepada bapanya, Jamie bertanggungjawab menguruskan segala urusan berkaitan perubatan, kewangan dan semua urusan peribadi bintang itu.


Tahun lalu, Britney gagal dalam cubaannya untuk ‘menyingkirkan’ bapanya daripada mengawal kehidupan dan hal-hal peribadinya selepas Mahkamah Los Angeles memutuskan perkara itu akan terus berkuat kuasa sehingga tahun ini.


Penyanyi lagu Opps! I Did It Again ini turut membuat permohonan untuk membolehkan pengurusnya, Jodi Montgomery, memainkan peranan tersebut.


Terbaharu, di hadapan hakim di mahkamah sama, Britney tampil sekali lagi menyifatkan ‘penjagaan’ ini sebagai satu penderaan terhadap dirinya.


"Kepada mereka semua yang terlibat dalam perkara ini termasuk bapa dan pengurusan saya, mereka seharusnya dipenjarakan," ujarnya.


Akui Britney, di bawah ‘penjagaan’ tersebut juga, dia terpaksa membelanjakan hampir RM250,000 (AS$60,000) sebulan bagi mendapatkan rawatan mental selepas membatalkan persembahannya di Las Vegas pada 2019.


Selain itu, Britney berkata, dia merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya, Sam Asghari, dan memiliki anak namun mereka (bapa dan pengurusan) memasang alat pencegahan kehamilan (contraceptive device) terhadapnya dan menghalangnya untuk mengandung lagi.


Menerusi perkahwinan terdahulu dengan Kevin Federline, Britney hanya memperoleh 30 peratus hak penjagaan selepas Federline diberikan hak penjagaan tunggal untuk menjaga kedua-dua anak mereka.


Antara perkara lain di bawah hak penjagaan itu, Jamie juga bertindak ‘melarang’ Britney untuk melakukan rawatan kecantikan diri melibatkan kuku, rambut dan urutan akupuntur.


‘"Dia (Jamie) dengan arahan yang diberikan ini dan kawalan yang dilakukan ke atas saya.


"Apa saya lalui merupakan satu situasi yang memalukan dan tidak bermoral, saya rasa dibuli," tambahnya.


Sementara itu, menerusi satu kenyataan daripada Jamie yang dibaca oleh peguamnya di mahkamah, dia berkata hanya mahu membantu anak perempuannya itu.


“Saya berasa sedih melihat dia menjalani kehidupan dalam penderitaan dan kekecewaan, Jamie sangat menyayangi Britney," kata peguamnya.


Britney merupakan bintang pop yang dilahirkan pada 2 Disember 1981 mula mencipta nama sebagai penyanyi dan penghibur terkemuka selepas singlenya, Baby One More Time, dikeluarkan pada 23 Oktober 1998.


Dia terus mencipta fenomena dengan mendominasi arena muzik antarabangsa dengan beberapa lagi single hit seperti Toxic, Born to Make You Happy, Piece of Me dan Womanizer.


Bintang kelahiran Missisippi ini juga pernah merangkul pelbagai anugerah di Grammy Awards seperti Best New Artist pada tahun 2000, Best Female Pop Vocal Performance, Best Pop Vocal Abum (2001) dan banyak lagi.


Ketika ini, hashtag #FreeBritney sedang sohor dan berleluasa digunakan khususnya di pelbagai platform media sosial oleh penyokong serta peminatnya dari seluruh dunia.


Rakan-rakan selebriti ternama dari industri hiburan juga tidak ketinggalan memberi sokongan kepada Britney untuk memperjuangkan nasibnya.


Antara selebriti yang menunjukkan solidariti ialah Chrishell, Justin Timberlake, Mariah Carey, Brandy, Khloe Kardashian, serta ramai lagi.



--Awani