Nihaba
Inisiatif dasar sistem pendidikan digital negara - Radzi Jidin

PUTRA JAYA: 14 Sept:Kementerian Pendidikan sedang dan bakal melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menambah baik lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di seluruh negara.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata Kementerian Pendidikan (KPM) turut mendengar tawaran sedemikian yang dibuat dua individu serta sebuah universiti tempatan.
Selain itu,terdapat 26 syarikat tempatan berminat menawarkan produk masing-masing yang boleh diaplikasi dalam menambah baik sistem pendidikan digital negara.
Menurutnya semua pihak berkenaan membuat tawaran itu pada program “Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan” semalam yang turut disertai beliau dan pegawai tertinggi KPM.
“Bermula dari pagi hingga petang saya bersama pengurusan tertinggi dan pegawai KPM terlibat dalam sesi ‘Edutech Pitching’ bagi mendengar pembentangan wakil syarikat-syarikat pemain industri pendidikan digital di negara ini tentang produk yang ditawarkan oleh mereka.
“Sebanyak 26 syarikat, 2 individu dan sebuah universiti mengambil bahagian dalam pembentangan itu.
“Antara lain, sesi ini bertujuan mendengar dan melihat sendiri kemudahan dan teknologi pendidikan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat tempatan yang boleh diaplikasikan dalam menambah baik dan mengoptimumkan sistem pendidikan digital negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Radzi menjelaskan bahawa terdapat banyak teknologi terkini dan menarik yang dibentangkan itu yang boleh diaplikasi bagi memperkukuh dan memperhebatkan sistem pendidikan digital negara.
“Dengan inovasi dan produk digital terkini, kami dapati pemain-pemain industri pendidikan digital tempatan tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan syarikat luar.
“Syabas dan terima kasih kepada semua pembentang yang begitu komited untuk bersama-sama memajukan pendidikan negara.
“Kami di KPM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik demi meningkatkan dan memperkukuhkan lagi pendidikan digital negara,” tambahnya.