• newsatmy

Insiden rusuhan di Parit Raja: Reman tujuh lelaki disambung

18 Mei 2021

BATU PAHAT: Baki tujuh lelaki yang ditahan kerana terlibat demostrasi jalanan, membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis 'Kerajaan Gagal' di Parit Raja, di sini, pada Khamis disambung reman untuk siasatan.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mereka yang berusia 18 hingga 23 tahun itu direman selama dua hari bermula Isnin.


"Permohonan sambungan dikemukakan Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Inspektor Randy Leslie dengan alasan mereka masih diperlukan untuk membantu siasatan polis.


"Majistret Batu Pahat, Mohd Syafik Mustaza telah membenarkan permohonan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


IPD Batu Pahat pada Jumaat menahan 20 individu kerana disyaki terlibat dalam insiden tersebut hingga tular dalam laman sosial.


Mereka yang berusia 16 hingga 28 tahun itu merupakan penduduk setempat dan 13 daripadanya dibebaskan pada Ahad dengan ikat jamin polis.


-Astro Awani