• newsatmy

ISAM dikembalikan sebagai pengawal selia sukan luncur ais negara

21 Jun 2021

KUALA LUMPUR - Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM) dikembalikan kedudukannya sebagai badan kawal selia sukan luncur ais di negara ini, berkuat kuasa serta-merta.


Presiden ISAM Mohd Fadzli Johan berkata perkara itu diputuskan oleh Pesuruhjaya Sukan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Mei lepas, sekali gus bermakna pemilihan atlet bagi temasya sukan pelbagai acara seperti Sukan SEA kini kembali dikendalikan oleh persatuan tersebut.


Katanya beliau gembira dengan keputusan itu selepas tiga tahun memperjuangkan perkara berkenaan apabila pendaftaran ISAM dibatalkan oleh Pesuruhjaya Sukan pada Mei 2018, hingga memaksa badan sukan tersebut membawa kes mereka ke mahkamah.


"Pendaftaran ISAM dibatalkan oleh Pesuruhjaya Sukan, namun kami masih ahli Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU) kerana kes masih di peringkat mahkamah. Tindakan kami yang seterusnya ialah mengadakan pemilihan dan mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi memilih barisan pemimpin.


"Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi, kami akan mengadakan AGM dan pemilihan secara maya. Kami perlu kembali bekerja secepat mungkin kerana banyak perancangan pembangunan kami tertangguh dalam tempoh tiga tahun tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama.


Mohd Fadzli yang akan mempertahan jawatannya, berkata antara perancangan yang telah disusun ialah persediaan bagi menyertai kelayakan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 yang akan bermula Oktober ini, serta merangka pelan tindakan untuk lima tahun akan datang yang turut menumpukan pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan Cortina 2026.


Selain itu, ISAM juga menyusun kolaborasi dengan IOI Icescape di IOI City Mall, Putrajaya bagi membentuk pasukan Olimpik Khas dan Paralimpik untuk atlet kurang upaya serta mewujudkan perkongsian bijak bagi menguruskan Stadium Luncur Ais Nasional Malaysia di Damansara.


Pada Januari 2019, media melaporkan kedudukan ISAM sebagai sekutu MOM ditamatkan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Pesuruhjaya Sukan membatalkan pendaftaran ISAM pada Mei 2018 atas dakwaan persatuan itu gagal menyerahkan laporan tahunan dari 2013 hingga 2018.


Pada Disember 2018, Pesuruhjaya Sukan juga mengesahkan Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF) sebagai pengawal selia baharu sukan itu, memaksa ISAM membawa kes tersebut ke mahkamah pada Mac 2019.


"Pada 20 Mei lepas, mahkamah memutuskan keputusan Pesuruhjaya Sukan itu batal dan tidak sah serta memerintahkan ISAM dikembalikan kedudukannya dalam tempoh 14 hari bekerja, selain membuat pemakluman bertulis kepada ISU dan MOM berkenaan pengembalian fungsi tersebut dalam tempoh 14 hari bekerja," katanya.


-- BERNAMA