• Arissa

Ismail Sabri mulakan tugas secara rasmi sebagai PM hari ini

23 Ogos 2021

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Bangunan Putra Perdana pada jam 8.30 pagi Isnin.


Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.


Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.


Ismail Sabri diiringi pegawai-pegawai kanan kerajaan dibawa mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas beliau sebagai Perdana Menteri ke-9.


Sejurus selesai mengimbas kad perakam waktu, Ismail Sabri dibawa ke pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.


Perdana Menteri juga dijadual mengadakan lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan, Kedah, hari ini.


Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.


Pada Sabtu, beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.


Pelantikan Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, dibuat selepas beliau menerima sokongan majoriti daripada 114 Ahli Parlimen menerusi surat akuan (SD) yang diserahkan kepada Agong.