top of page
  • newsatmy

Issey dan isteri bakal menimang anak

2 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyampai radio Suria FM, Issey Fazlisham berkongsi berita gembira isterinya, Noor Aimi Jamel, hamil empat bulan.


Issey, 33, atau nama sebenar, Fazlisham Mat Hussin menganggap kehamilan isteri sebagai hadiah paling berharga selepas lebih setahun berumah tangga.


"Saya terkejut dan sangat gembira apabila Aimi berkongsi berita kehamilannya. Ini adalah anak pertama saya dengan isteri.


"Saya ada anak-anak tiri, namun, perasaan ini berbeza," katanya kepada BH Online. Issey berkata, ketika isteri berkongsi berita, mereka belum membuat pemeriksaan di klinik.


"Jadi, ketika itu, kami rahsiakan dahulu kerana memikirkan pada awal kehamilan, janin belum kuat.


"Apabila kandungan sudah kuat, barulah saya umumkan. Insya-Allah, mengikut perkiraan, Aimi akan melahirkan bayi ini pada Ogos atau awal September depan," katanya.


Issey dan Aimi berkongsi berita gembira itu di Instagram (IG) dan akaun YouTube melalui video gelagat spontan tiga anak Aimi dari perkahwinannya terdahulu iaitu Muhammad Uqashah, Muhammad Qayyum dan Cataleya Humairah dimaklumkan mereka bakal mendapat adik.


Ditanya reaksi anak-anak, Issey berkata, mereka tidak sabar menunggu kelahiran adik bongsu.


"Sebenarnya, ketika rakaman itu dibuat, mereka terkejut dan tidak tahu hendak beri tindak balas. Mereka tidak tahu mahu percaya atau tidak sebab saya selalu bergurau.


"Selesai sahaja rakaman, mereka tidak putus-putus bertanya mengenai adik seperti bila mahu lahir, nama dan sebagainya," katanya.


Issey berharap mendapat anak perempuan.


"Kami belum tahu jantina anak biarpun sudah menjalankan ujian imbasan. Imej yang dirakam tidak jelas.


"Jika ditanya, saya mahukan bayi perempuan kerana boleh temankan anak bongsu Aimi, Humairah.


"Itu apa yang saya harap. Saya tidak kisah Allah mahu kurniakan lelaki atau perempuan. Kami terima seadanya... Insya-Allah," katanya.


Issey berkata, dia dan isteri belum memutuskan sama ada mahu bayi berkenaan dilahirkan di sini atau Kelantan.


Issey dan Aimi bernikah pada 22 Disember 2019 di Kota Bharu, Kelantan.


-Berita Harian

bottom of page