• newsatmy

Istana Budaya galak 'buka' pentas tahun depan

25 April 2021

KUALA LUMPUR: Sebagai lokasi yang sering menjadi tumpuan penganjuran pelbagai acara, pandemik COVID-19 memberi impak kepada Istana Budaya (IB) apabila tiada aktiviti berlangsung, sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, kesunyian yang melanda pentas berprestij itu berakhir apabila IB dimeriahkan dengan penganjuran Konsert Kata Kota Cinta anjuran Persatuan Generasi Malaysia, baru-baru ini.

Ketua Pengarah IB, Zaiton Md Desa berkata, walaupun sudah kembali membuka gelanggang, namun, buat masa ini, keutamaan diberi kepada program terbitan dalaman dan pementasan yang sudah tertangguh lama.

"Memang ada produksi yang menunjukkan minat membuat pementasan di IB. "Namun, saya nasihatkan mereka agar menangguhkan hasrat itu tahun hadapan.

"Sejak pandemik, aktiviti di IB tergendala dan baru sekarang hendak bernafas semula. Buat masa ini, keutamaan diberi kepada program terbitan IB yang sudah dirancang awal. "Program lain yang akan diteruskan adalah Konsert 4G's, Konsert Barisan Hadapan Datuk Jamal Abdillah, bangsawan dan pementasan teater oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berjudul Sengkela Perak," katanya kepada BH Online.

Zaiton tidak menolak faktor pelaksanaan arahan patuh kerja terutama membabitkan penjarakan fizikal secara tidak langsung membuatkan penganjur berfikir panjang sebelum meneruskan hasrat mereka.

"Disebabkan kita perlu mematuhi SOP, IB terpaksa mengurangkan kapasiti penonton pada jarak dua kerusi.

"Jadi kita hanya boleh memuatkan 500 penonton dalam satu persembahan," katanya.

Zaiton mengakui jumlah penonton terhad sangat merisaukan penganjur yang perlu mencari keuntungan.

"Jadi, kepada mana-mana penganjur yang berminat untuk mementaskan acara di IB, saya sarankan agar dibuat, tahun hadapan.

"Selain banyak slot yang masih kosong, mereka boleh lanjutkan tarikh persembahan dan memberi peluang kepada lebih ramai penonton menyaksikan program mereka," katanya.


-Astro Awani