top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Isu arak Timah: Hormat sensitiviti umat Islam


Isu jenama produk yang mudah disalah tafsir perlu diperjelaskan agar tidak timbul salah faham sepertimana yang berlaku terhadap penggunaan jenama 'Timah' pada produk arak keluaran tempatan.


Penggunaan jenama arak dengan perkataan bahasa Melayu seperti ‘Timah’ amatlah tidak wajar sama sekali.


Apa yang lebih mengejutkan, arak tersebut mengguna pakai jenama ‘Timah’ dan berlatar belakangkan gambar seorang lelaki yang berjanggut serta memakai penutup kepala persis seorang Muslim.


Hal ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam kerana ia dilihat seolah-olah satu tindakan biadab dan tidak menjaga sensitiviti orang Islam dalam negara ini, yang merupakan penduduk majoriti.


Selain itu, perbuatan tersebut juga menimbulkan persepsi seolah-olah ada agenda tersembunyi seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim.


Pun begitu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) menimbulkan persoalan apakah beberapa jenama produk lain yang berada di pasaran negara juga perlu ditukar sekiranya berlaku lagi salah faham.


"Saya faham pendirian kerajaan dalam hal ini dan rundingan sedang dijalankan dan isu ini mungkin disalah tafsir. Persoalan saya, jika nama senang untuk disalah tafsir, saya lihat di sosial media ramai juga yang troll, adakah kita akan tukar nama coklat Daim kerana nama berkait rapat dengan Tun Daim (Zainuddin).


"... ataupun minuman Dutch Lady yang boleh dikaitkan dengan nama wanita seperti orang kata Timah, dan banyak contoh lain.


"Jadi, saya berharap apa pun pendrian kerajaan, perkara seperti ini harus diperjelas supaya kes-kes lain tidak timbul kerana salah faham," katanya.


Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii (DAP) membidas kerajaan kerana tunduk kepada "retorik dan sentimen melampau" yang dilakukan pihak tertentu berhubung kontroversi mengenai jenama wiski tempatan, Timah.


Kritikan itu hadir selepas syarikat pengeluar wiski itu bersetuju mempertimbangkan untuk menukar nama dan imej pada label produk mereka.


Dia juga mempertahankan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras dengan menegaskan negara ini tidak boleh tunduk kepada retorik melampau dan pada masa sama berbangga dengan kesederhanaan dan masyarakat majmuk.


“Apa pun jenamanya, arak adalah haram dalam Islam, tetapi hak orang bukan Islam untuk meminumnya perlu dihormati.


“Kita adalah masyarakat berbilang kaum dan budaya kerana kita berbangga dengan kesederhanaan.


“Kita tidak boleh biarkan diri kita tunduk kepada retorik melampau sebegitu dan membenarkan ‘bukan isu’ seperti nama wiski dihebohkan,” katanya.


Walaubagaimanapun, agama rasmi di Malaysia ialah agama Islam, jadi kita harus menghormati perkara tersebut.


Pihak berkaitan dinasihat supaya lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu sebegini kerana ia berpotensi mengancam perpaduan dan keamanan masyarakat berbilang kaum.


Memelihara kerukunan masyarakat dan tidak melanggar batas-batas yang boleh mengancam kestabilan hidup dan menggugat keharmonian umat Islam adalah menjadi teras kestabilan negara ini.


Isu ini perlu diberi perhatian serius pihak berwajib dan semua pihak kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam dan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

Comentários


bottom of page