top of page
  • zaman

Isu-isu penting hadapi PRU -15


Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Isnin (10 Okt) menggesa supaya pilihan raya diadakan lebih awal bagi meraih mandat lebih kukuh dan menstabilkan landskap politik yang terus bergejolak di tengah-tengah skandal 1MDB bernilai berbilion dolar dan krisis COVID-19.


Inilah antara isu-isu penting yang akan menentukan bagaimana warga Malaysia akan membuat undian mereka:


EKONOMI & INFLASI


Harga dan prospek ekonomi yang kian meningkat akan paling dipertimbangkan para pengundi sedang kerajaan Malaysia dan bank pusat memberi amaran terhadap pertumbuhan lebih perlahan tahun depan.


Ekonomi dijangka tumbuh empat hingga lima peratus tahun depan, berbanding ramalan pertumbuhan tahun ini sebanyak 6.5 hingga tujuh peratus.


Harga juga semakin meningkat, terutama sekali bagi barangan makanan.


Kerajaan tersebut menyatakan pihaknya akan mengurangkan subsidi bermula 2023 disebabkan tekanan fiskal, yang boleh menyebabkan lebih banyak kenaikan harga jika petadbiran baru meneruskan dengan rancangan itu.


"Isu utama (dalam pilihan raya itu) adalah kesejahteraan sosioekonomi yang bertambah butuk," kata zamil kanan di Institut Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun.


Sebahagian besar kaum Melayu di Malaysia menjangkakan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) akan menjadi "yang paling rela menghulurkan bantuan kewangan pada masa-masa sukar ini", kata beliau.


UMNO, sebagai sebahagian daripada parti gabungan Barisan Nasional, memerintah Malaysia selama lebih 60 tahun sejak kemerdekaan sehingga 2018, apabila ia digulingkan disebabkan dakwaan rasuah yang berleluasa.


Parti nasionalis Melayu itu membina sokongan sejak bertahun-tahun lamanaya menerusi sistem naungan yang kukuh, terutama sekali dalam kalangan kaum Melayu.


KESTABILAN POLITIK


Warga Malaysia kian berasa marah dan kecewa dengan perebutan kuasa dan politik yang melanda negara itu sejak kemenangan pilihan raya bersejarah oleh pihak pembangkang menumpaskan UMNO.


Kemenangan oleh perikatan yang dipimpin Mahathir Mohamad adalah yang pertama oleh pihak pembangkang dalam sejarah Malaysia.


Sejak itu, UMNO cuba merebut kembali kuasa dan menjadi tumpuan utama bagi kekecohan, dengan perebutan jawatan dalam parti dan dengan rakan-rakan parti gabungannya.


Negara itu menyaksikan tiga perdana menteri sejak dua tahun lalu, pada masa di mana ekonomi juga terjejas teruk oleh pandemik COVID-19.


Mengumumkan pembubaran parlimen, Encik Ismail berkata ketidaktentuan politik mempunyai kesan negatif terhadap ekonomi dan menyuarakan keperluan mengembalikan mandat kepada rakyatnya.


RASUAH


Rasuah juga menjadi sebab utama bagi kekalahan UMNO pada 2018, dan sebilangan pengkritik berkata kemenangan yang menyakinkan oleh UMNO pada pilihan raya akan datang akan memburukkan lagi keadaan rasuah dan menyaksikan ahli politik yang mengamalkan rasuah kembali berkuasa.


Sebilangan pemimpin paling kanan parti itu didakwa selepas kekalahan pilihan raya itu dan merekalah yang menggesa Encik Ismail supaya mengadakan pilihan raya dengan lebih awal.


Bulan lalu, Encik Ismail mengumumkan siasatan salah laku dijalankan ke atas mantan peguam negara yang mengendalikan kes-kes rasuah para pegawai UMNO.


Mantan perdana menteri Najib Razak, bersama presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi serta sebilangan pegawai parti kanan lain didakwa dengan puluhan tuduhan rasuah.


Kesemua mereka menolak sebarang salah laku, dengan Najib dan Ahmad Zahid menyifatkan dakwaan rasuah ke atas mereka adalah berunsurkan politik.


KAUM DAN AGAMA


Kaum dan agama kekal menjadi isu yang memecahbelahkan rakyat di Malaysia - negara pelbagai kaum dengan sekitar 32.7 juta penduduk.


Kaum Melayu, yang kebanyakan beragama Islam, membentuk 70 peratus bilangan penduduk, manakala bakinya dibentuk kebanyakannya oleh kaum Cina dan India.


Kaum Melayu konservatif, yang membentuk sebahagian besar pengundi, dijangka kembali menyokong UMNO selepas rasa dipinggirkan oleh pentadbiran Mahathir, yang menyaksikan jumlah lebih tinggi bukan Melayu yang dilantik bagi memegang jawatan tinggi dalam kabinet.

bottom of page