• Nizam

Isu Kapal peronda,Zahid dipanggil beri keterangan pada PAC

Updated: Oct 26, 2021

25 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan keterangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) oleh Kementerian Pertahanan melibatkan nilai lebih RM9 bilion.


Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menjawat jawatan Menteri Pertahanan dari 10 April 2009 hingga 16 Mei 2013, telah memberikan penjelasan hampir dua jam berhubung isu itu yang merupakan perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan (MINDEF).


Beliau berkata Ahmad Zahid merupakan saksi keenam yang dipanggil PAC untuk isu ini, selain Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Muez Abdul Aziz, bekas Panglima Tentera Laut Jen (B) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Pegawai Operasi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Low Kok Chiang.


"PAC memandang serius isu ini memandangkan sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar namun tidak ada sebuah pun kapal LCS yang siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS telah siap dibina setakat ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.-Atro Awani