top of page
  • newsatmy

Isu Palestin: Selebriti, 'influencer' perlu tingkat kesedaran ramai menerusi fakta dan sejarah

19 Mei 2021

KUALA LUMPUR : Selebriti dan 'influencer' digesa menyampaikan fakta dan sejarah terhadap apa yang berlaku ketika ini di Palestin.


Ini kerana golongan ini mempunyai ruang yang lebih besar untuk menyalurkan maklumat sahih kepada orang ramai sekali gus meningkatkan kesedaran kepada masyarakat, kata pelakon tanah air Diana Amir.


"Apa yang selebriti ini ada adalah ruang yang lebih besar atau pengaruh yang lebih luas untuk menyampaikan mesej kepada umum.


"Kita perlu suarakan fakta dan sejarah apa yang berlaku ketika ini untuk mendidik masyarakat tentang apa sebenarnya yang berlaku.


"Mungkin ramai yang terkejut dengan konflik yang melanda ketika ini di Palestin sedangkan ia sudah lama berlaku sejak 73 tahun lalu," katanya menerusi perkongsian dalam AWANI Pagi pada Selasa.


Senada dengan Diana ialah adik beradik Heliza dan Hazwani Helmi yang turut menggesa agar isu kemanusiaan ini dipertahankan bersama tidak kira bangsa dan agama.


Bagi selebriti Yatt Hamzah, beliau merayu agar rakyat Malaysia bangkit demi agama dan tidak leka dengan konflik yang melanda Palestin ketika ini.


Beliau turut menggesa agar orang ramai terus menyalurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.


Justeru, mereka turut menyeru agar orang ramai menyalurkan sumbangan kepada saluran yang betul termasuk menerusi akaun menerusi Tabung Kilat Palestin yang dianjurkan MAPIM melalui nombor akaun 562834636620 (Maybank - Dana MAPIM).


-Astro Awani

bottom of page