• Nizam

Isu projek HSR KL-Johor Bahru dijangka dibangkitkan Dewan Rakyat hari ini

9 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Isu mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.


Lim ingin tahu sama ada projek HSR akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan HSR KL-Singapura, anggaran kos bagi kedua-dua projek serta sekiranya rundingan dengan Singapura dapat memastikan harga asal projek sebanyak RM100 bilion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.



Pada sesi sama, Menteri Kewangan pula diminta menyatakan rasional perintah baharu Jabatan Kastam pada tahun depan yang mewajibkan kedai kopi dan restoran memohon lesen arak untuk menjual bir atau stout kepada bukan Islam sehingga mengganggu amalan hidup dan perniagaan kumpulan itu.


Soalan itu diajukan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) yang turut ingin tahu bilangan perniagaan yang terjejas, fi lesen berkaitan, jumlah yang boleh dikutip serta hukuman terhadap mereka yang ingkar.


Selesai sesi itu, tumpuan dijangka terarah pada sesi soal jawab dengan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang bertanyakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli sekiranya kerajaan bersedia membenarkan pengeksportan pasir keluar negara terutama bagi projek tebatan banjir di muara sungai.


Sementara itu, Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) memohon penjelasan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berhubung pelan strategik untuk meremajakan sektor pertanian agar dapat menarik minat generasi belia dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.






-- BERNAMA