Jaga etika penulisan- Siti Nurhaliza
10 Okt
Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini dilihat ‘tidak berpuas hati’ dengan sebuah portal berita yang menulis artikel berhubung anaknya, Siti Aafiyah Khalid.
Menerusi hantaran di Instagram, Siti menegaskan bahawa etika penulisan oleh portal berkenaan amat jauh dengan jawapan yang diulas olehnya sebelum ini.
Perkara itu berkaitan soalan media yang ingin mengetahui sama ada penyanyi popular dengan lagu Jerat Percintaan itu akan membenarkan Aafiyah untuk turut mengikut jejak langkah ibunya dalam bidang nyanyian.
“Cuba tonton (video live) saya pada 6 Oktober baru-baru ini, ada saya pos di sini, dengar apa yang saya jawab apabila media bertanyakan tentang Aafiyah.
“Tajuk berita ini jauh berbeza dengan jawapan saya. Saya tidak pernah menyebut saya lebih gembira jika Aafiyah menjadi ahli politik seperti yang ditulis.
“Netizen akan menulis di ruangan komen berdasarkan tajuk tersebut, dan macam-macam akan diperkatakan,”
Justeru, Siti menegaskan kepada media supaya kekal menjaga etika penulisan dengan tidak mengubah sebarang fakta kerana bimbang akan menjejaskan kredibilti seseorang.
Pada masa sama, ibu kepada Aafiyah dan Muhammad Afwa itu berharap portal yang terbabit dalam isu itu dapat bertanggungjawab atas artikel yang disiarkan mereka.
“Saya tidak pernah ada masalah dengan pihak media tetapi saya hanya mahu agar apa yang ditulis perlu dengan fakta yang betul, apatah lagi ada video yang boleh dirujuk,” ujarnya.
Sebelum ini, sebuah portal berita popular menyiarkan satu artikel berkaitan Siti dan juga Aafiyah dengan tajuk ‘Siti Nurhaliza lebih gembira Aafiyah menjadi ahli politik’.
Commentaires