top of page
  • newsatmy

"Jaga Jebat elok-elok naa" - Pesan Sharnaaz pada Noor Nabila, Engku Emran

20 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Aktor Sharnaaz Ahmad menyampaikan pesanan buat pengantin baharu Noor Nabila Mohd Noor dan Engku Emran Engku Zainal Abidin agar memelihara anaknya, Jebat Jayden dengan sebaik mungkin.


Dalam hantaran di Instagram peribadinya pada Jumaat, pelakon kelahiran Pulau Pinang yang mesra disapa Mamu Sharnaaz itu turut menitipkan ucapan tahniah kepada pasangan berkenaan.


“Selamat pengantin baru Nabila dan Emran... semoga berbahagia ke anak cucu. Jaga jebat elok elok naaa,” tulis Sharnaaz dalam hantaran berkenaan.


Hantaran pelakon dan usahawan itu mendapat perhatian sejumlah rakan artis selain peminat-peminatnya yang mendoakan kehidupannya dipermudahkan.


Ada juga netizen yang menitipkan doa supaya Sharnaaz juga segera bertemu jodoh sekali gus mengakhiri zaman dudanya.


Sharnaaz merupakan bekas suami Noor Nabila dan hasil perkahwinan sebelum ini, mereka dikurniakan anak lelaki Jebat Jayden.


Jebat kini dipelihara secara bergilir-gilir oleh Sharnaaz dan Noor Nabila.


Pada sekitar pukul 10.02 pagi, Noor Nabila menikahi Engku Emran di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.


Majlis pernikahan pasangan berkenaan berlangsung sederhana dan hanya dihadiri keluarga terdekat dan rakan-rakan karib mereka.


Noor Nabila, 36, yang juga kakak kepada usahawan dan selebriti tersohor, Neelofa menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin dan tiada sebarang dulang hantaran diberi dan dibalas kedua-dua mereka.


Pengantin baharu juga tidak memaklumkan sebarang jumlah hantaran.


Sebelum itu, dalam hantaran Insta Story Neelofa, jelitawan itu memuat naik sedutan video Engku Emran dinikahkah oleh adik mereka, Mohamed Aqief Mohd Noor dengan hanya sekali lafaz. - AA


bottom of page