top of page
Writer's pictureNihaba

Jajaran Harapan Untuk Rakyat?

11 Jun2021

Rentetan perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk memanggil dan berbincang dengan kesemua ketua parti politik di dalam siri mesyuarat khas yang berasingan, khabar yang berlegar di media arus perdana mahupun media sosial sejak Ahad sedikit sebanyak memberi bayangan akan ada sesuatu yang berlaku dalam arena kepimpinan negara ini. Ada yang bersorak kegembiraan dan ada yang mengecam kemarahan. Apa tidaknya, cakap-cakap barangkali tukar kerajaan atau sebarang kemungkinan yang diharapkan sekalian penyokong yang berkepentingan sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) ‘mengambil alih’ daripada Pakatan Harapan (PH) sejak Mac tahun lalu.


Rakyat kini menyandarkan harapan yang tinggi kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu untuk menyelesaikan banyak kemelut yang melanda negara demi kesejahteraan bersama. Tidak kurang juga yang mengecam dengan tindakan parti-parti politik yang membuat ‘political maneuvering’ ketika negara sedang berperang untuk mengekang penularan pandemik Covid-19. Ahli politik telah dilabel dengan pelbagai gelaran dan kelihatan ‘lebih kuah dari sudu’ dengan sikap yang berlebih-lebihan menuding jari sesama sendiri tanpa ada sebarang inisiatif yang kondusif di dalam membantu barisan hadapan yang bertarung nyawa berperang untuk negara.


Semenjak majoriti rakyat semakin jelas mengalami sindrom ‘pandemic fatigue’, bukan sahaja cemuhan dan kritikan, malah caci nista juga banyak dikesan di laman media sosial. Di dalam hal ini, tidaklah boleh kita salahkan sepihak sahaja, kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan rakyat ada melakukan kesalahan sehinggakan semakin getir situasinya pada hari ini. Apapun kerajaan adalah kuasa eksekutif negara dan sememangnya tanggungjawab mereka untuk memimpin kita dalam menangani pandemic Covid-19. Berikut disenaraikan beberapa kritikan yang tular di laman media sosial:-


i. Isu pandemik yang tidak nampak jalan penyelesaiannya.

ii. Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sangat mencabar bagi pihak guru, ibu bapa dan para pelajar.

iii. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tidak selaras dalam kalangan menteri yang mengumumkan serta pelbagai lagi keputusan yang tidak selari apalagi tidak berpihak kepada rakyat.

iv. Barisan kabinet yang ramai daripada kerajaan sebelum ini dan tidak nampak fungsi keberkesanannya.


Dan hari ini kita telah dikejutkan dengan struktur kabinet bayangan jajaran politik baharu yang melibatkan PKR, UMNO, DAP dan Amanah. Jajaran baharu yang dikenali dengan jolokan nama Jajaran Harapan telah membentangkan tawaran kabinet bayangan mereka jika kerajaan dirombak dan pucuk pimpinan negara berubah arah seperti ilustrasi grafik di bawah.


Dokumen sulit yang diedarkan melalui platform Whatsapp ada memperincikan secara penuh setiap kementerian dengan penyandang jawatan Menteri dan timbalan Menteri masing-masing daripada parti-parti yang bergabung di dalam Jajaran Harapan yang senyap-senyap telah dibentuk, Berikut adalah keratan-keratan risalah yang diedarkan melalui Whatsapp sejak semalam.





Ini selepas Tun Mahathir mendedahkan perbincangan beliau bersama YDPA untuk tidak bersetuju jika diadakan Pilihanraya Umum dalam tempoh terdekat ini dan memberi cadangan agar ditubuhkan badan khas seperti MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) untuk menangani cabaran dihadapi Malaysia, meliputi krisis wabak Covid-19 dan kesannya terhadap ekonomi, ketidakstabilan politik dan sosial. Bukan setakat itu sahaja, beliau turut mencalonkan diri beliau sendiri untuk mengetuai badan khas itu.


Ini merisaukan banyak pihak jika cadangan ini diperkenankan oleh YDPA tidak kira kerajaan perikatan mahupun jajaran baru pembangkang kerana sudah pasti masing-masing yang ada agenda politik masing-masing akan terkesan. Tidak janggal untuk pihak kerajaan sedia ada merasakan cadangan ini tidak sesuai dan tidak patut dipraktiskan memndangkan usaha berterusan mereka di dalam mengemudi negara mengharungi ketidaktentuan ekonomi dan sosio politk negara tetapi jika gabungan pembangkang yang lain melatah, sudah pasti ada sebabnya dan kini, kita sudah tahu jawapan kepada persoalan itu. Nampaknya mereka sedang meyusun rapi perancangan untuk mengambil alih tampuk kuasa dan pemerintahan negara. Tidak hairanlah mereka kuat berkempen dengan #KerajaanGagal terhadap semua isu di dalam negara kerana cita-cita besar memegang kuasa adalah yang paling utama buat mereka dan bukan untuk kepentingan rakyat dan negara.


Mari kita membuat sedikit analisa samada barisan kabinet bayangan ini dapat menangkis tohmahan rakyat ketika ini berdasarkan kritikan-kritikan yang disenaraikan di atas. Isu pertama berkaitan kegagalan mencari jalan penyelesaian Covid-19, jika dilihat statistik kes harian jangkitan Covid-19, Selangor telah mengungguli carta sepanjang tempoh pandemik ini. Walaupun mereka ada jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas Menteri kesihatan, tetapi kes Covid di Selangor terus melonjak tinggi. Alasan Selangor membuat saringan yang berskala besar menjadikan mereka dapat mengesan kes positif Covid-19 adalah lebih tinggi seolah-olah tidak relevan sebab negeri-negeri lain di dalam tempoh sehingga 14 hari masih tidak menunjukkan pertambahan kes yang mendadak kerana kita tahu simptom akan muncul dalam tempoh tersebut. Jumlah kematian ‘Brought In Dead’ (BID) juga paling tinggi di Selangor. Jadi, jika mereka inilah yang memegang tampuk negara, pastinya kita gagal memerangi wabak ini.


Tohmahan kedua berkaitan PDPR, kita sedia maklum Nurul Izzah pernah mempengerusikan jawatankuasa TVET di dalam mendepani perubahan industri kepada IR4.0, namun tidak semena-mena beliau meletakkan jawatan tanpa menghiraukan perkembangan TVET ini sehingga bolehlah dikatakan yang jawatankuasa ini gagal mencapai objektif yang disasarkan oleh kerajaan ketika itu. Adakah kita yakin beliau boleh menyuntik arus perubahan di dalam sistem pendidikan negara jika terus menerus cepat melatah dan tidak boleh menerima kritikan? Isu warna kasut yang nampak remeh pon sudah cukup memeritkan bagi Mazslee Malik yang kita tahu sentiasa tenang di dalam apa jua situasi ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan apatah pula orang lain.


Tohmahan seterusnya berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tiada hala tuju dan tidak menguntungkan rakyat. Perlu diingat, kadar kesesakan ketika PKP3.0 adalah masih dijuarai oleh Selangor dan sekitar Lembah Kelang sebab kita sedia maklum industri dan perniagaan berkembang pesat di pusat-pusat bandaraya di sana. MITI melalui kenyataan menterinya juga memberikan gambaran jelas berkaitan surat kebenaran beroperasi dan hanya 21.8% sahaja yang diluluskan. Pintu-pintu masuk negara jugak ditutup dan dikawal ketat untuk elakkan varian baru dari luar. Bayangkan jika Menteri terdiri daripada jajaran baru pembangkang, adakah PKP menyeluruh akan dilaksanakan? Adakah pintu masuk negara akan ditutup? Jawapannya tidak kerana itulah jawapan yang diberi oleh Dr Dzulkefly Ahmad bersama Dr Siti Mariah ketika sidang media mereka ketika mengulas desas-desus negeri Selangor bakal dikenakan PKP menyeluruh. Bukan suatu yang asing dari pembangkang untuk menolak sebarang usaha mengekang Covid-19 yang boleh menjejaskan ekonomi negara. Ironinya, rakan gabungan mereka pula bersungguh hendakkan ‘Total Lock Down’ seperti catatan Najib Razak dan beberapa pimpinan UMNO. Jika sekarang hangat diperkatakan kunci pintu depan tapi pintu belakang terbuka, tapi seandainya gabungan baru ini memegang tampuk kuasa negara, bukan setakat depan atau belakang, kiri dan kanan juga boleh dibolosi. Silap-silap pintu dan dinding terkopak sekali.


Tohmahan terakhir dan yang paling popular berkaitan saiz jemaah Menteri dan kabinetnya. Kerajaan sekarang mempunyai keseluruhan 70 anggota kabinetnya dan angka ini sangat tinggi jika dibandingkan dengan kabinet terdahulu hanya lenih-kurang 22 hingga 23 orang sahaja. Mari kita teliti kabinet bayangan Jajaran Harapan ini, jika dikira secara keseluruhannya, sejumlah 67 orang yang bakal menganggotai kabinet. Hanya berbeza 3 orang sahaja daripada kerajaan sekarang. Tidakkah jumlah ini juga ramai dan sama sahaja seperti apa yang kita ada sekarang? Ibarat ‘Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’, tidak nampak sebarang usaha untuk mengecilkan barisan kabinet kepada 22 atau 23 orang, dan lebih kepada hendak memuaskan hati kesemua gabungan parti politik di dalam pengagihan jawatan.


Kita sedia maklum dengan situasi negara kita yang sedang dilanda pandemik Covid19 ini, namun sampai ke hari ini orang-orang politik masih ada masa untuk berfikir tentang kuasa dengan cubaan menukar Kabinet Baharu?


Adalah lebih baik kita bergabung bahu dan tenaga untuk memulihkan ekonomi dan negara kita sekarang ini dari sibuk berebut kuasa.


Namun, seandainya ini berlaku, iaitu Kabinet Baharu Jajaran Harapan dengan jumlah 67 orang anggota ini menguasai tampuk pemerintahan negara, adakah kita bersedia untuk diketuai oleh Anwar Ibrahim dan konco-konconya?


Lihat dan nilailah sendiri.



Mohammed Nizam Bin Hassan.

--PN Online.

Comments


bottom of page