• Arissa Azman

Jakim terus laksana inisiatif perkasa KAFA secara berfasa

13 NOVEMBER 2021

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sentiasa mengambil inisiatif memperkasakan program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) melalui penambahbaikan secara berfasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad. Beliau berkata penambahbaikan merangkumi aspek pengurusan, kebajikan penyelia dan guru KAFA, latihan kompetensi, pemberian bantuan khas secara ‘one-off’, keselamatan premis dan prasarana. “Penambahbaikan yang dirancang dan dilaksanakan secara bersama antara Jakim, agensi pelaksana KAFA negeri dan juga Kementerian Pendidikan.


“Kita semua perlu sentiasa bekerjasama erat untuk melaksanakan misi memperkasa ilmu agama dan akhlak kepada anak-anak kita semua,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Ihtifal KAFA Kebangsaan (IKK) dan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) di sini malam tadi.


Dalam pada itu, Idris berkata murid-murid aliran agama di institusi pendidikan Islam mempunyai potensi besar untuk bersinar menjadi barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang.


“Peserta MIISMAM telah menunjukkan potensi, kebolehan dan bakat yang sangat membanggakan setanding dengan murid-murid yang berada dalam pendidikan arus perdana,” katanya.


Pada majlis itu, Idris turut melancarkan logo rasmi program KAFA yang akan digunakan agensi pelaksana di seluruh negara.


Katanya, penggunaan logo KAFA secara seragam akan menjadi penanda aras yang melambangkan imej dan prestij KAFA sebagai sebuah program berkualiti serta diyakini masyarakat.


“Kini, masyarakat dapat mengenali program KAFA yang sah dan berdaftar dengan agensi pelaksana negeri melalui logonya.


“Saya yakin dengan adanya logo KAFA ini, kepercayaan masyarakat terhadap KAFA dapat ditingkatkan seterusnya menjadi pemangkin kepada tercapainya visi, misi dan objektif KAFA,” katanya.


Pada majlis itu, Muhammad Irfan Mohd Amir dari Kedah diumumkan johan tilawah Al-Quran MIISMAM dan Irfan Hakimie Haimi dari Perak johan bercerita kisah Al-Quran IKK.