top of page
  • newsatmy

Janna akan jawab hari ini

25 Febuari 2021

KUALA LUMPUR- Panas dengan kontroversi artis K-pop, pelakon dan pengacara, Janna Nick akan tampil pada sidang media secara virtual, pada jam 2.30 petang ini.


Undangan sidang media yang diterima, pagi ini, tidak menyatakan secara khusus agenda acara, namun, dipercayai ada kaitan dengan kontroversi tercetus, selepas kali terakhir Janna mengeluarkan kenyataan, Isnin lalu.


Janna turut mengumumkan penganjuran sidang media itu dalam Instagram (IG).


Janna dijangka mengulas kontroversi artis K-pop pada sidang media virtual, petang ini. Foto IG Janna Nick


Sejak akhir-akhir ini, nama Janna 'panas' apabila kontroversi tercetus pada 2018 'disensasikan' semula dengan pengacara Melodi itu dituduh mempersendakan kematian bintang K-pop, mendiang Kim Jong-Hyun dan seolah menyamakan anggota kumpulan Blackpink, Lisa Manoban sebagai 'Lisa Blackpig'.


Mengulangi penafiannya dua tahun lalu, Janna yang mengaku peminat 'budaya Korea Selatan' menolak semua dakwaan, malah, terbaharu, pelakon itu bersumpah sambil memegang senaskhah al-Quran.


Dalam kenyataannya Isnin lalu, Janna menyatakan sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah, ugutan dan serangan peribadi yang mengaibkan serta merosakkan reputasinya di Malaysia dan di luar negara.


Janna dilaporkan berkata, beliau difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti individu dipercayai penyebar fitnah, biarpun mereka dikatakan cuba berselindung di sebalik nama atau akaun samaran.


Selasa lalu, laman sembang kecoh konon akaun IG Janna disekat gara-gara kontroversi artis K-pop.


Bagaimanapun, semakan BH Online mendapati akaun IG Janna yang sebelum ini dinyahaktif, boleh diakses dengan pelakon Marry Me Senorita itu memuat naik entri mempromosikan drama Marry Me Senorita.


Difahamkan, Janna yang memiliki 6.2 juta pengikut IG, perlu menunaikan komitmen dalam mempromosikan produk dan kerjaya lakonan melalui media sosial itu.


Dalam perkongsian itu, Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Munner membiarkan ruangan komen dibuka mengiringi video yang dimuat naik.


-Berita Harian

bottom of page