• newsatmy

Jari Neelofa berinai merah! Bayangan majlis perkahwinan semakin jelas.

26 Mac 2021

KUALA LUMPUR: NAMPAKNYA 'bau nasi minyak' perkahwinan usahawan dan selebriti terkenal negara, Neelofa dengan pasangannya, PU Riz semakin kuat!

Kelmarin Astro AWANI melaporkan gadis berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu akan melangsungkan majlis akad dalam sebuah majlis tertutup pada Sabtu dan hari ini berita gembira itu semakin kencang bertiup. Menerusi kemaskini di Instagram Story milik juara Dewi Remaja 2009/10 itu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dilihat memberi bayangan seolah-olah sudah pun bersiap sedia menghitung hari untuk bergelar isteri kepada PU Riz atau Haris Ismail. Sementara menerusi video yang dimuat naik lebih kurang dua jam lalu, Astro AWANI mendapati jari pengasas syarikat Naelofar Hijab dan Nilofa Group dilihat sudah berinai warna merah.

Inai dijari Neelofa, 32, kelihatan begitu ketara ketika beliau sedang mempromosikan produk makanan tambahan, Markaz Tijaari.

Kebiasaannya majlis malam berinai menjadi simbolik kepada bakal mempelai yang mahu mendirikan rumah tangga.

Dalam laporan pada Rabu, sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa pasangan berkenaan akan melangsungkan majlis akad di sebuah hotel lima bintang di sekitar lingkaran Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Jelas sumber Astro AWANI, segala persiapan sedang dijalankan dan Neelofa turut dikatakan memilih perunding perkahwinan sama yang mengendalikan majlis pernikahan kakaknya, Noor Nabila minggu lalu.

Kemaskini di Instagram Story CT Ray turut menguatkan lagi khabar angin bahawa perkahwinan Neelofa akan berlangsung dalam masa terdekat.

Sementara itu, semakan Astro AWANI di laman Instagram yang dipercayai milik sepupu Neelofa, CT Ray turut mendapati pengikut Instagram wanita itu mengajukan soalan berhubung kepulangannya pada majlis perkahwinan Neelofa.

"Anda tidak pulang pada majlis perkahwinan Neelofa?" tanya pengguna Instagram tersebut, sebelum dijawab oleh CT Ray bahawa dia tidak pulang dalam masa terdekat memandangkan sempadan negara masih ditutup. CT Ray ketika ini dipercayai menetap di selatan Australia.

Hubungan Neelofa dan PU Riz sentiasa menjadi sorotan media tempatan sejak beberapa bulan lalu kerana mereka juga tidak terlepas melalui pelbagai ujian dan cabaran.

Pada hujung Januari lalu, Neelofa ada memberi bayangan bakal mengumumkan tarikh pernikahan mereka, namun, tiada sebarang pengumuman dibuat.

Sama ada betul atau tidak perkhabaran ini, namun yang pasti ia akan menjadi perkahwinan yang dinanti-nantikan oleh para peminat Neelofa. Kami di Astro AWANI mendoakan yang terbaik untuk Neelofa dan PU Riz!

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.