• newsatmy

Jaringan jarak jauh gemilang Schick diundi gol terbaik Euro 2020

15 Julai 2021

JARINGAN jarak jauh sensasi Patrik Schick ketika Republik Czech menentang Scotland diundi sebagai gol terbaik Euro 2020.


Penyerang Bayer Leverkusen itu menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 di Hampden Park -- perlawanan pertama peringkat kumpulan pada 14 Jun lalu -- dan gol kedua itu terhasil hampir dari jarak setengah padang.


Jaringan itu terhasil dari jarak 49.7 ela, sekali gus menjadi gol paling jauh pernah dilakukan dalam Kejohanan Eropah sejak data seperti itu mula direkodkan pada 1980 - mengatasi rekod yang dilakukan Torsten Frings (38.6 ela) buat Jerman ketika menentang Belanda dalam Euro 2004.


Gol itu menerima undian terbanyak daripada 10 senarai pendek yang dipilih Pasukan Penilai Teknikal Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), di mana hampir 800,000 orang awam telah mengambil bahagian dalam undian itu.