• Arissa

Jaringan sendiri bantu Sri Pahang FC ikat KDA FC di Kuantan

2 September 2021

KUALA LUMPUR: Sri Pahang FC menamatkan rekod empat kemenangan Liga Super berturut-turut Kedah Darul Aman (KDA) FC, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.


Pemain pertahanan KDA FC Mohd Loqman Hakim Marzuki menanduk masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-87, sekali gus memusnahkan harapan pasukan membawa pulang tiga mata berharga untuk berada di kedudukan selesa, dalam perebutan gelaran naib juara liga.


KDA FC yang mengumpul 39 mata selepas 19 perlawanan kini berada di kedudukan kedua dengan kelebihan dua mata di hadapan Terengganu FC (TFC), yang mengumpul 37 mata selepas mengharungi 20 perlawanan.


Pada aksi tersebut, Amirul Hisyam Awang Kechik meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-12, menerusi rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Muhammad Daniel Wafiuddin Sa'dun, namun penyerang import Kenjok Wal Athiu menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-29.


Bekas pemain tengah kebangsaan Mohd Syazwan Zainon kembali meletakkan KDA FC di depan pada minit ke-67 dan pada ketika seakan kemenangan berpihak pasukan pelawat, Mohd Loqman tertanduk bola ke gawang sendiri, ketika cuba mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya.


Sementara itu, Negeri Sembilan FC terus memberi tekanan kepada pendahulu Sarawak United FC dalam perebutan kejuaraan Liga Premier, selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.


Pada aksi liga yang tertunda itu, Negeri Sembilan FC bermula garang selepas membuka tirai jaringan pada minit kelima, menerusi pemain import Francis Kone sebelum berjaya mengekalkan kedudukan sehingga masa rehat.


Bersambung babak kedua, Michael Ijezie pantas menyamakan kedudukan buat Kuching City FC pada minit ke-47, namun kedudukan itu tidak bertahan lama pertahanan import Negeri Sembilan FC Arthur Cunha, meledak gol kedua pasukan pada minit ke-70 sekali gus mengesahkan kemenangan skuad The Jangs.


Berbaki dua perlawanan perlu ditempuh untuk melengkapkan saingan musim ini, Negeri Sembilan FC kini berada di kedudukan kedua mengumpul 35 mata selepas 18 perlawanan, dua mata dipisahkan dengan Sarawak United FC yang mengumpul 37 mata, dengan memiliki baki tiga aksi liga.



-- BERNAMA