top of page
  • newsatmy

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat: Harap pembangkang bersikap profesional - Wan Saiful

Isabelle Leong

Februari 9, 2021 19:58 MYT



WAN SAIFUL: Tidak ada sesiapa yang boleh mempersoal kredibiliti ahli jawatankuasa yang diumumkan ini. - Gambar fail/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Wakil-wakil pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 diharap dapat bersikap profesional.


Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan menegaskan ini supaya wakil-wakil pembangkang tidak membuat keputusan yang hanya berpandukan nafsu politik.


“Pada 21 Januari lalu, pembangkang sudah awal-awal lagi mengatakan bahawa walaupun mereka menghantar wakil ke dalam jawatankuasa, mereka kekal dengan pandangan mahu darurat ditamatkan.


“Semoga dengan pengumuman ini, wakil-wakil pembangkang akan menjadi lebih profesional.


“Jangan pula sebelum dapat pembentangan data dan maklumat sudah ada keputusan yang hanya berpandukan nafsu politik,” kata Wan Saiful menerusi satu entri di laman Facebook peribadinya pada Selasa.



Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata pembentukan jawatankuasa itu juga menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serius dalam memastikan nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah tepat dan dipandu data.


“Semua nama yang diumumkan adalah mereka yang berkaliber dan berintegriti.


“Tidak ada sesiapa yang boleh mempersoal kredibiliti ahli jawatankuasa yang diumumkan ini.


“Bilangan ahli Parlimen kerajaan hanya sebahagian kecil sahaja, manakala majoritinya adalah tokoh profesional,” katanya.


Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.


Tiga ahli Parlimen pembangkang yang dipilih menganggotai jawatankuasa tersebut ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.


Pada Januari lalu, Muhyiddin memaklumkan jawatankuasa tersebut ditubuhkan bagi menjamin pelaksanaan darurat adalah adil dan telus.


bottom of page