top of page
  • newsatmy

Jejak Rasul bawa sisi berbeza

16 April 2021

KUALA LUMPUR: Memasuki edisi ke-27, program kembara Jejak Rasul yang cukup sinonim dengan sajian Ramadan TV3, terus dinantikan peminat.


Andai sebelum ini, kru produksi berkelana ke seluruh dunia menjejaki tamadun Islam, namun, kali ini, akibat sekatan perjalanan, program majalah popular ini tampil dengan kandungan berbeza.


Tidak kurang tarikannya, kru Jejak Rasul kali ini menjelajah tujuh negeri di Malaysia antaranya Kedah, Perak, Kelantan dan Melaka bagi menjejaki artifak dan bahan berkaitan sejarah Islam dan kisah Nabi.


Diberi judul Jejak Rasul : Ulama Pewaris Rasul, edisi ke-27 program ini diterbitkan sebanyak 15 episod dan mula disiarkan sejak 9 April lalu, setiap hari Jumaat hingga Ahad.


Penerbit bersama dan hos Jejak Rasul, Ahmad Fedtri Yahaya, berkata proses rakaman edisi terbaharu Jejak Rasul dimulakan sejak 1 Februari lalu selama 50 hari.


"Selama ini, ramai tahu Jejak Rasul menjelajah ke luar negara bagi menjejaki sejarah tamadun Islam.


"Namun, disebabkan pandemik COVID-19, kali ini kita membawa paparan dalam negeri membabitkan tujuh negeri di Malaysia," katanya kepada BH Online.


Visual memukau dan penceritaan mantap menjadi antara kekuatan Jejak Rasul yang menghampiri usia tiga dekad penerbitannya.


Ahmad Fedtri berkata, proses pra produksi agak rumit biarpun penggambaran dilakukan di Malaysia.


"Jika 'shooting' di luar negara, kita hanya sediakan surat kebenaran manakala urusan lain dilakukan ejen dilantik.


"Kali ini, untuk membuat penggambaran di tujuh negeri di Malaysia, kita menulis kira-kira 70 surat kepada pelbagai jabatan dan agensi.


"Sebenarnya, ini lebih rumit daripada jangkaan awal. Malah, ada lokasi yang ingin dikunjungi seperti muzium ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Dalam hal ini, kru produksi perlu lebih kreatif menghasilkan paparan visual dan pada masa sama, menjaga prosedur operasi standard (SOP)," katanya.


Ahmad Fedtri yang sudah empat musim bersama Jejak Rasul menambah, penceritaan dan sinematografi terus menjadi kekuatan program itu.


"Saya teruja melihat visual dihasilkan dalam program ini. Ramai yang memuji dan mengakui negara kita juga ada tarikan tersendiri.


"Pelbagai penemuan dibuat misalnya tapak A Famosa di Melaka yang sebenarnya berasal daripada masjid yang diruntuhkan ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.


"Selepas dikambus dan dibenam tapak itu, didirikan gereja yang menghadap kiblat. Di sini, timbul pelbagai persoalan dan teori di mana kita tampilkan ahli panel untuk menjelaskannya," katanya.


Andai sebelum ini kru produksi Jejak Rasul berkelana ke seluruh dunia menjejaki tamadun Islam, namun, akibat sekatan perjalanan, program majalah popular ini tampil dengan kandungan berbeza.


Jejak Rasul kali ini membawa kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijrah.


Menyoroti sejarah, lokasi strategik di laluan dagang sutera menghubungkan timur dan barat, selain pelabuhan di daerah pesisir Tanah Melayu, dipercayai menjadi pintu masuk alim ulama ke rantau ini.


Sama ada golongan Sadah, Arabi Hadrami Yemeni, Baghdadi, Parsi, Pasai, Patani, Makassari atau Minangkabawi, mereka adalah ulama yang merintis laluan dakwah dan menjalin hubungan rapat dengan Kesultanan Melayu.


Mula disiarkan TV3 sejak 12 Februari 1994. Penceritaan dalam Jejak Rasul edisi ke-27 bersandarkan kajian tiga pakar dari Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


-Berita Harian

bottom of page