top of page
  • zaman

Dusuki Kalah Saman, Kena Bayar RM11 Ribu Kepada Mujahid



SHAH ALAM, 14 Sep –Bekas menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof pula berjaya mengetepikan saman fitnah yang dikemukakan bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani.


Ini berikutan Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman fitnah dikemukakan Ahmad Dusuki berhubung dakwaan isu penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam.


“Mahkamah mengarahkan Ahmad Dusuki membayar kos sebanyak RM11,000 kepada Mujahid.

“Saman fitnah oleh Dusuki difailkan rentetan ciapan Mujahid pada 22 Nov 20202 selepas tersebarnya video ceramah Ahmad Dusuki yang mendakwa aset TH dijual kepada orang bukan Islam,” kata peguam Norazmir Zakaria yang mewakili Mujahid dalam kes itu


Terdahulu, saman Ahmad Dusuki dikemukakan susulan kenyataan Mujahid seperti berikut:


“Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.


Susulan itu, Ahmad Dusuki yang juga pendakwah bebas menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyata jumlahnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Noorazmir ketika dihubungi Malaysiakini berkata mahkamah dalam penghakiman menyatakan bahawa kenyataan melalui Twitter Mujahid itu bukan merupakan suatu fitnah kerana daripada keterangan semasa perbicaraan telah terbukti bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.


Menurutnya, hakim juga menegaskan pembelaan justifikasi, komen yang adil dan perlindungan bersyarat yang digunapakai oleh defendan adalah pembelaan yang terpakai.

“Ini kerana defendan yang merupakan bekas menteri agama bertanggungjawab terhadap hal-ehwal pengurusan dan penjalanan Tabung Haji mempunyai suatu tanggungjawab moral dan sosial, dan atas dasar kepentingan awam yang, pernyataan dalam twitter itu dibuat berasaskan kepada fakta yang benar dan terbukti.


“Sebagai bekas menteri agama, defendan bertanggungjawab untuk memberitahu hal sebenar tentang TH supaya TH tidak lagi disalah anggap sebagai institusi yang memanipulasi harta orang Islam,” katanya.

Comentarios


bottom of page