top of page
  • newsatmy

Jenazah 'Makcik Petir' selamat dikebumikan


7 April 2021 Johor Bahru : "Arwah mama ada berhasrat mahu berkumpul dengan adik-beradiknya untuk berbuka puasa pada hari pertama Ramadan, namun Allah lebih menyayanginya," demikian luahan annak pelakon drama, Noryati Taib, Faizul Hafiz Hashim, 36.

Noryati, 63 atau lebih popular dengan panggilan 'Makcik Petir' dalam kalangan peminatnya, meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi tadi.

Faizul Hafiz berkata hasrat itu disuarakan ibunya pada akhir Februari lalu, selepas mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari akibat komplikasi buah pinggang.

Beliau berkata, arwah ibunya adalah seorang yang sering berpesan kepada anak dan gemar 'berleter'. "Arwah mama memang suka berpesan, dia punya 'leteran' memang kita rindu. Setiap hari dia berpesan supaya jangan sakitkan hati orang, jangan menipu dan berbaik dengan masyarakat.

"Mama ada cakap juga puasa pertama nanti nak ajak adik-beradiknya supaya berbuka bersama di kediaman di Taman Air Biru, Pasir Gudang. "Biasanya sebelum ini, kami berbuka di rumah pusaka keluarga di Kampung Datuk Sulaiman Menteri di sini. Namun disebabkan mama susah nak bergerak sejak kaki dipotong pada 2017 akibat diabetes, dia mahu berbuka bersama di rumahnya.

"Kali terakhir mama keluar Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 27 Februari lalu akibat komplikasi buah pinggang, sejak itu Mama tidak berlakon lagi," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di sini, hari ini.

Faizul Hafiz yang juga anak ketiga dari empat beradik, berkata sejak dibenarkan keluar dari HSI pada akhir Februari lalu, selera makan ibunya bertambah. Katanya, beberapa rakan artis yang juga anak angkat Noryati menghubunginya bagi mendapatkan perkhabaran kesihatan ibunya itu.

"Dari segi harian dia cuma cakap dia nak sihat, lepas keluar hospital selera makan bertambah. Mama cakap beri sahaja apa yang mahu dimakan, kami bagi juga tetapi tetap pantau diet dia.

"Mama ramai anak angkat dalam industri, antara yang kerap menghubungi mama seperti pelakon Sharnaaz Ahmad, Mamat Sepahtu, Joey Said dan Along Cham. Malah, masa berada dalam rawatan tempoh hari, dia selalu dihubungi mereka untuk bertanya khabar," katanya.

Terdahulu, jenazah Noryati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini jam 11.30 pagi, selepas solat jenazah di Masjid Al-iltihad Perjiranan 9, Taman Air Biru, Pasir Gudang. -BH Online


bottom of page