top of page
  • admin

Jika dia cabar saya, cabarlah – Takiyuddin


TUMPAT 13 jan: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan ada perjumpaan PERIKATAN NASIONAL (PN) dengan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang didedahkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata, menerusi pertemuan itu, pemimpin BN membawa senarai tawaran yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada BN yang diadakan di Hotel St Regis sebelum kerajaan baharu dibentuk.

“Saya mengesahkan PN ada berjumpa dengan pimpinan tertinggi BN sebelum kerajaan Persekutuan yang sedia ada hari ini ditubuhkan. Mereka yang hadir pada ketika itu adalah diketuai Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan.

“Melalui pertemuan itu juga, turut hadir sama Naib Presiden Umno, Setiausaha Agung BN, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir, Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pun turut hadir.

“Dalam pertemuan sama itu juga mereka (BN) membawa satu senarai kepada kita mengenai tawaran PH kepada BN, jadi apa PN boleh tawarkan kepada BN,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok .


Beliau berkata, mengenai sebarang tarikh yang tepat berkenaan pertemuan itu juga dapat dikemukakan sekiranya mahu untuk didedahkan.

“Saya ada tarikh yang tepat bila pertemuan itu berlangsung, namun saya tidak mahu dedahkan, tetapi jika dia cabar saya, cabarlah.

“Namun, saya mengesahkan ada perjumpaan yang dipersetujui oleh Umno, MIC dan MCA berjumpa kita,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu

bottom of page