top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Johor benar buka 11 aktiviti ekonomi

22 Ogos 2021

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor membenarkan 11 aktiviti ekonomi termasuk kedai gunting rambut dan premis cuci kereta beroperasi, berkuat kuasa semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata, kebenaran itu susulan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).


"Berkuat kuasa semalam, 11 lagi aktiviti sektor perdagangan dan pengedaran serta sektor pasar adalah dibenarkan beroperasi di Johor, seperti yang diumumkan kerajaan Ahad lalu.


"Ia membabitkan operasi kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).


"Sektor ekonomi ini dibenarkan beroperasi dengan syarat, pemilik premis dan pasar perlu memastikan pelanggan yang ingin memasuki premis menunjukkan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahyera yang membuktikan pelanggan itu telah divaksin lengkap," katanya dalam kenyataan, malam ini.


Ayub turut mengingatkan individu yang berhasrat mengunjungi premis perniagaan supaya memenuhi kriteria lengkap divaksin iaitu dos kedua melepasi tempoh 14 hari.


Sementara itu pekerja turut lengkap divaksin dan ujian saringan RTK Antigen Covid-19 dilaksana bagi setiap dua minggu dengan kos ditanggung oleh majikan.


"Majikan juga perlu mengisytiharkan kadar vaksinasi lengkap pekerja melalui Sistem CIMS 3.0," katanya.


Kelmarin, media melaporkan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memuat naik notis pemberitahuan tidak membenarkan operasi bagi 11 aktiviti ekonomi termasuk kedai gunting rambut dan premis cuci kereta yang diumumkan kerajaan Persekutuan Ahad lalu.


Terdahulu pada Khamis, Perdana Menteri Sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aktiviti 'dine-in' dibenarkan kepada individu lengkap vaksin di negeri-negeri Fasa Satu PPN, termasuk Johor yang berkuat kuasa semalam.


Kemudahan lain yang dibenarkan termasuk aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu.



--PN Online

bottom of page