top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Johor lulus pindaan perlembagaan negeri bagi melaksanakan Undi18

6 Januari 2022

ISKANDAR PUTERI: Dewan Undangan Negeri Johor hari ini meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi menurunkan had umur minimum mengundi dan bertanding dalam pilihan raya kepada 18 tahun.


Pindaan Fasal 16 Bahagian Dua Perlembagaan Kerajaan 1895 telah diluluskan sebulat suara oleh 53 ADUN yang hadir pada sidang khas Dewan Undangan Negeri.


Cadangan pindaan itu dibentangkan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad yang berkata pindaan itu bertujuan menurunkan umur minimum mereka yang layak menjadi ADUN daripada 21 kepada 18 tahun.


“Cadangan pindaan itu telah diluluskan oleh Exco Kerajaan Negeri dalam mesyuarat pada 15 Dis 2021,” kata Hasni.


Empat ADUN, dua dari setiap pihak, membahaskan cadangan pindaan itu sebelum diluluskan sebulat suara.


Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur minimum melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (A1603) yang diwartakan pada 10 Sept 2019.


Speaker Suhaizan Kayat berkata enakmen itu akan dikuatkuasakan melalui pengisytiharan warta.


“Enakmen itu akan dikenali sebagai Enakmen Perlembagaan Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 dan akan berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri melalui pengisytiharan warta itu,” kata Suhaizan.


Pada November tahun lalu, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dilaporkan bersetuju untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing bagi membolehkan individu berusia 18 tahun bertanding sebagai calon bagi Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil.


Perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Johor mengikuti negeri lain yang telah meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi tujuan itu termasuk Sabah pada Dis 2019; Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (Nov 2020); Kelantan (Dis 2020) dan Perak (Julai 2020) dan Pulau Pinang (Sept 2021) dan Kedah pada Nov 2021.

bottom of page