top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Johor paling banyak sungai tercemar



Biar tidak ada elektrik jangan tiada air. Itu ayat yang sering kita dengar setiap kali berlaku gangguan bekalan air.


Sememangnya menjadi satu kerisauan yang amat kepada pengguna apabila membuka paip di rumah mendapati tidak ada setitis air pun yang keluar.


Dalam kehidupan serba moden hari ini, bekalan air bersih sangat penting bukan sahaja untuk keperluan memasak, minum, membasuh dan mandi tetapi juga untuk kegunaan aktiviti lain seperti menyiram pokok dan membasuh kenderaan.


Purata penggunaan air rakyat Malaysia setiap hari ialah 210 liter seorang berbanding Singapura kira-kira 151 liiter sehari bagi setiap individu.


Sungai, sebagai salah satu unsur alam semula jadi ciptaan Tuhan Maha Esa, merupakan satu khazanah yang perlu kita pelihara supaya fungsinya dalam kehidupan makhluk di dunia ini sentiasa berkekalan.


Di Malaysia, kita amat beruntung kerana dikurniakan banyak sungai untuk kegunaan masyarakat tempatan biarpun corak kehidupan manusia pada masa ini telah berubah.

Pergantungan manusia kepada sungai masih terus berkekalan namun disebabkan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab, maka hari ini kita mendapati kebanyakan sungai di negara kita semakin tercemar seperti yang dapat kita lihat di Sungai Kelang, Sungai Gombak dan Sungai Skudai di Johor. Sesungguhnya, kemusnahan sungai yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia ini perlu segera diatasi kerana memberi impak yang terlalu besar dalam semua aspek kehidupan seharian kita.


Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 yang dikeluarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan Johor adalah negeri yang merekodkan bilangan tertinggi sungai tercemar merangkumi Kelas Tiga dan Kelas Empat.


Terdapat 19 sungai tercemar di negeri paling selatan di Semenanjung itu, dengan satu daripada sungai itu turut mengairi Melaka dan Sembilan iaitu Sungai Sarang Buaya.


Bagi Sungai Sembrong dekat perkampungan Orang Asli Sedohok, Kahang contohnya, ribuan ikan dan udang galah mati akibat pembuangan sisa kumbahan dari kilang memproses kelapa sawit di hulu sungai tersebut.


Ekoran itu, kira-kira 200 nelayan di 20 buah kampung sepanjang sungai itu terjejas sumber pendapatan mereka.


Untuk rekod, sungai yang berada dalam Kelas Tiga mempunyai bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) antara 51.9 hingga 76.5 iaitu air memerlukan rawatan tambahan.


Sementara itu, Kelas Empat antara 31.0 hingga 51.9 iaitu untuk tujuan pengairan sahaja manakala Kelas Lima (kurang daripada 31.0) merujuk pada sungai yang tidak sesuai untuk semua tujuan seperti Kelas Satu hingga Empat.


Berikut senarai 19 sungai tercemar teruk di Johor setakat tahun 2020:


Kelas Tiga 1. Sungai Panchor 59 2. Sungai Simpang Kanan 59 3. Sungai Sanglang 59 4. Sungai Semberong 58 5. Sungai Tebrau 58 6. *Sungai Sarang Buaya 58 7. Sungai Temehel 57 8. Sungai Danga 57 9. Sungai Perembi 57 10. Sungai Plentong 56 11. Sungai Bala 55 12. Sungai Sebulung 53 13. Sungai Sengkuang 52 14. Sungai Tampoi 52


Kelas Empat

15. Sungai Pandan 46 16. Sungai Ayer Merah 43 17. Sungai Tukang Batu 42 18. Sungai Buluh 41 19. Sungai Kempas 32


Langkah pro aktif yang boleh dilakukan terutama kerajaan negeri Johor dalam masa yang terdekat ini adalah melaksanakan pemetaan secara terperinci sistem kawalan kumbahan kilang dan industri yang terdapat di pesisir kawasan sungai.


Perlu disenaraikan jenis industri yang tidak sesuai menjalankan operasi terutama di kawasan hulu muka sauk bagi memastikan hanya industri yang tidak atau kurang berisiko sahaja dibenarkan beroperasi di kawasan itu.


Langkah ini dapat mengurangkan beban pencemaran di bahagian hilir yang menempatkan muka sauk bagi loji rawatan air.


Kebanyakan muka sauk adalah di kawasan hilir sungai kerana kuantiti isi padu air lebih tinggi di kawasan berkenaan.


Walaupun sungai mempunyai keupayaan secara semulajadi menerima bahan cemar tetapi ia bergantung juga kepada isi padu air yang ada di dalam sungai berkenaan.


Memantapkan sekuriti air yang meliputi kuantiti dan kualiti air yang menjadi keperluan asas manusia perlu dijadikan keutamaan oleh pihak berkuasa agar pengguna tidak lagi dibebani dengan masalah gangguan air pada masa akan datang.


Matharuzaman Ahmad

TKB Pontian

Pengguna air Johor



bottom of page