top of page
  • cik skod

Jual diesel kepada kenderaan Thailand, KPDN serbu premis pemborong di Padang Besar


PADANG BESAR 9 April: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan sebanyak 26,000 liter bahan api itu yang dianggar bernilai RM55,900 di sini semalam.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perlis Farah Adlina Ropaie berkata rampasan dibuat melalui Ops Tiris bersama-sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah premis pemborong minyak diesel di sini, kira-kira 1 tengah hari.


"Hasil pemeriksaan, premis berkenaan didapati gagal menyelenggara buku stok barang kawalan (minyak diesel bersubsidi) dan bekalan yang diperoleh adalah meragukan.

"Semakan ke atas buku stok pula mendapati pemborong tersebut disyaki menjual minyak diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran Thailand. Susulan itu, sebanyak 26,000 liter minyak diesel bersubsidi dan dokumen berkaitan disita untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Farah Adlina berkata pemborong berlesen yang berurusan dengan barang kawalan wajib menyelenggara buku stok barang kawalan dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 manakala Peraturan 11 untuk bekalan diperoleh meragukan.


"Buku stok (barang kawalan itu) tidak dikemas kini lebih kurang sebulan. (Sepatutnya) setiap kali (bekalan) minyak (diesel bersubsidi) masuk perlu rekodkan dalam buku stok itu, sehari tidak kemas kini buku stok pun kita akan ambil tindakan," katanya.


Farah Adlina berkata pihak premis itu disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi tersebut dalam tempoh setahun ini dan siasatan awal mempercayai bekalan minyak diperoleh daripada pemborong di Bukit Kayu Hitam, Kedah.


"(Mengenai bekalan diesel) sumber dia (pihak premis pemborong minyak diesel di Padang Besar itu) berlesen tetapi tidak boleh beli daripada pemborong (juga), dia kena beli terus daripada syarikat," katanya.


Beliau berkata pihaknya sudah merekodkan keterangan pemilik premis berkenaan iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an untuk siasatan lanjut.-- BERNAMA

bottom of page