top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Jumlah mangsa banjir di Selangor menurun, tidak berubah di empat negeri lain

28 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Selangor terus menurun pagi ini, manakala mangsa banjir di Pahang, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan, kekal.


Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat 20,026 mangsa daripada 6,136 keluarga masih ditempatkan di 130 pusat pemindahan di lima negeri pagi ini berbanding 21,544 mangsa daripada 6,563 keluarga yang direkodkan malam tadi.


Di SELANGOR, jumlah mangsa berkurangan kepada 7,751 di 39 pusat pemindahan pagi ini daripada 8,644 di 45 pusat pemindahan malam tadi.


Dilaporkan dalam publicinfobanjir.water.gov.my bahawa paras air di Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat, kini menurun selepas mencapai paras amaran 3.66 meter pada 7.15 pagi.


Sementara itu, Polis Selangor mengumumkan enam jalan masih tidak boleh dilalui bagi kebanyakan kenderaan iaitu Jambatan FT 31 Dengkil - Banting; Jalan Genting Peras – Kuala Klawang; Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra; jambatan menghala ke padang menembak Subang dan Jalan PJU 7, di hadapan stesen MRT Mutiara Damansara; manakala Jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka hanya untuk kenderaan ringan.


Di PAHANG, 90 pusat pemindahan masih dibuka untuk menampung 12,692 mangsa dari enam daerah banjir iaitu Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.


Paras air di Sungai Kundang di Maran dilaporkan masih melebihi paras amaran.


Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca suram di Kuantan dan Pekan pagi ini, manakala di daerah lain pula dijangka baik.


Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang berteduh di dua pusat pemindahan di Pasir Mas kekal 152 orang daripada 46 keluarga setakat jam 7 pagi.


Pusat pemindahan adalah di SK Tok Deh dan SK Gual Periok.


Portal InfoBanjir rasmi Jabatan Saliran dan Pengairan melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada tahap bahaya.


Di MELAKA, jumlah mangsa kekal tidak berubah iaitu 26 orang daripada lapan keluarga, setakat jam 8 pagi.


Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya sebuah pusat pemindahan masih beroperasi iaitu di SK Penghulu Benteng di Jasin.


Di NEGRI SEMBILAN, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata jumlah mangsa di negeri ini kekal tidak berubah dengan 58 mangsa daripada 19 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Jelebu.

bottom of page