• newsatmy

Jurulatih futsal cabul remaja perempuan ditahan

26 April 2021

SUBANG JAYA: Seorang jurulatih futsal ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes cabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam sebuah kereta di Puchong, di sini pada 3 Mac lalu.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata lelaki berusia 33 tahun itu telah ditahan pada jam 9.30 malam pada Sabtu.


"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Aruz milik suspek bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.


Abd Khalid berkata, dalam kejadian pada jam 10 malam itu, mangsa telah mengikut suspek membeli ubat di kedai farmasi di sebuah stesen minyak di Puchong, setelah selesai latihan futsal.


"Semasa berada di dalam kereta di hadapan kedai farmasi itu, mangsa telah meminta suspek untuk membantu mengurut bahunya kerana sakit bermain futsal.


"Ketika suspek mengurut bahu mangsa, tiba-tiba tangannya telah turun ke paha mangsa, sebelum menyeluk seluar mangsa," katanya.


Beliau berkata, mangsa telah menolak dan menepis tangan suspek beberapa kali.

"Suspek menyatakan hanya sekejap sahaja dan cuma mereka berdua yang tahu apa yang berlaku.


"Suspek juga meminta mangsa untuk tidak beritahu kepada sesiapa mengenai insiden itu, mangsa hanya mendiamkan diri kerana takut," katanya.


Menurutnya, mangsa telah dinasihatkan untuk membuat laporan polis setelah kejadian itu diketahui oleh abangnya.


"Suspek telah direman selama empat hari bermula Ahad hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.


-Astro Awani