Kabinet minta PM tumpu kepada persiapan banjir, bukan PRU-15
SHAH ALAM, 3 Okt – Persiapan menghadapi kemungkinan banjir perkara adalah keutamaan Kabinet dan bukan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata Kabinet tidak pernah bersetuju supaya PRU-15 disegerakan seperti didakwa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebaliknya kerajaan mahu menumpukan kepada aspek persediaan menghadapi bencana banjir pada hujung tahun.
“Ya sebab itu memang perkara (PRU-15) yang telah dijangkakan bahawa untuk kepentingan individu tertentu di dalam UMNO.
“Perdana Menteri dipaksa untuk menetapkan tarikh pilihan raya umum ataupun pembubaran tetapi kita juga bincang dalam jemaah menteri bahawa kita harus berpegang kepada perlembagaan yang jelas menyatakan bahawa Jemaah Menteri yang akan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri (PM) akan membawa mandat daripada Jemaah Menteri.
“Jadi dalam perbincangan awal kita telah menyatakan kepada PM supaya tumpuan diberikan kepada persiapan kemungkinan.
“Apabila berlaku banjir kerana kebajikan rakyat dan keselamatan rakyat itu perlu diberikan keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bahagian BERSATU dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BERSATU Selangor semalam.
Jelas Azmin lagi, Kabinet berpandangan masih terdapat masa yang panjang untuk mengadakan PRU-15 dan tidak perlu tergesa, malah secara peribadi menyatakan pandangan sedikit masa lagi diperlukan untuk memastikan keadaan ekonomi kembali stabil.
“Kita masih ada masa yang panjang untuk mengadakan pilihan raya umum tidak perlu tergesa-gesa.
“Yang kedua saya juga telah memberikan pandangan walaupun situasi ekonomi negara semakin baik, semakin pulih berdasarkan data dan statistik yang telah diumumkan.
“Namun saya sebagai mewakili kementerian yang bertanggungjawab tentang pelaburan dan perdagangan, merasakan kita perlu sedikit masa lagi untuk meyakinkan pelabur-pelabur asing supaya dapat terus melabur di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan kerana hanya dengan pelaburan-pelaburan baru ini kita dapat mencipta pertumbuhan ekonomi yang mampan dan dapat mencipta pekerjaan,” katanya.
Comments