• Arissa Azman

Kadar kematian membimbangkan, 463 korban dilaporkan

19 September 2021

Arkib data Kementerian Kesihatan di Github melaporkan sejumlah 324 kematian Covid-19 semalam (18 Sept), menjadikan jumlah kematian terkumpul menjadi 23,067.


Jumlah tertinggi dicatatkan pada 11 Sept dengan 592 kes.


Daripada kes kematian baru yang dilaporkan semalam, 21.6 peratus atau 70 orang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan di hospital.


Selangor merekodkan jumlah kematian baru tertinggi dengan 146 korban, merangkumi 45.06 peratus kematian baru yang dilaporkan.


Baki korban melibatkan Johor (54), Pulau Pinang (25), Kedah (24), Perak (15), Sabah (13), Kelantan (12), Sarawak (11), Melaka (7), Kuala Lumpur (7) , Negeri Sembilan (5) dan Pahang (5).

Tiada kematian baru dilaporkan di Perlis, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.


Sebanyak 183 daripada 324 kematian yang dilaporkan berlaku dalam seminggu terakhir manakala hanya tujuh kematian berlaku dari semalam.


Baki kematian yang dilaporkan semalam pula lebih terdahulu dari tempoh seminggu kerana tunggakan.


Purata 320 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari sejak 30 hari terakhir. Purata kes kematian dalam tujuh hari pula adalah 378.


Setakat semalam, terdapat 219,359 kes Covid-19 yang aktif. Ini pengurangan 8.35 peratus berbanding dengan 239,351 jangkitan aktif seminggu yang lalu.



Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian bersama dengan jumlah kes Covid-19 baru pada waktu petang. Pengumuman berkenaan telah berubah.


Statistik kematian kini dikeluarkan pada hari berikutnya pada jam 2 pagi. Malaysiakini melaporkannya pada waktu pagi.