• Arissa Azman

Kalau jumpa saya, cepat buat ujian saringan - Shahrulezad

3 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah popular, Shahrulezad Mohameddin yang disahkan positif COVID-19 meminta semua pihak termasuk artis yang pernah berurusan dengannya agar menjalani ujian saringan.


Shahrulezad juga memaklumkan penggambaran drama bersiri Khilaf Asmara terpaksa ditangguhkan berikutan kru produksi perlu melakukan proses kuarantin kendiri.

"Secara rasminya pembikinan drama Khilaf Asmara terpaksa dihentikan buat sementara waktu untuk proses kuarantin berikutan saya dan beberapa kakitangan disahkan positif COVID-19.


"Sesiapa yang menjadi kontak rapat kami diminta segera menjalani ujian Rapid Test Kit (RTK). Jangan ambil ringan soal COVID-19.


Shahrulezad mengambil inisiatif menghubungi semua pihak yang dikenal pasti menjadi kontak rapat dirinya bagi memastikan mereka mendapatkan ujian saringan COVID-19. Foto IG Shahrulezad Mohameddin


"Kita bukan kena jaga diri kita sendiri tetapi juga keselamatan orang sekeliling. Itu tanggungjawab kita dan yang penting jangan panik," katanya melalui entri Instagram (IG).


Shahrulezad turut mengambil inisiatif menghubungi semua pihak yang dikenal pasti menjadi kontak rapat dirinya.


Terdahulu, Shahrulezad menerusi perkongsian di IG mengesahkan dirinya positif COVID-19 selepas tidak sedap badan, sejak beberapa hari lalu.


Reda dengan apa yang berlaku, pengarah drama rantaian Nur dan Nur 2 ini memberitahu keputusan diperoleh selepas melakukan ujian saringan COVID-19 kali kedua.