- newsatmy
Kami serah pada peguam – Ibu Nynaa Harizal
12 NOVEMBER 2021

PETALING JAYA: Kontroversi membabitkan pelakon, Nynaa Harizal yang didakwa diculik oleh bapanya sendiri menjadi semakin hangat apabila dia mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Bapa Nynaa iaitu Harizal Hashim, 49, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas perbuatan menakutkan secara jenayah dengan menggunakan pistol ke atas seorang lelaki, minggu lalu.
Usaha pihak Wacana untuk mendapatkan kenyataan Nynaa berhubung isu itu tidak berjaya apabila telefon bimbit milik pelakon wanita itu tidak dapat dihubungi.
Manakala, ibu Nynaa pula memilih untuk tidak memberikan sebarang komen dan menyerahkan kepada peguam mereka.
“Buat masa ini kami tiada sebarang komen berhubung isu ini. Atas nasihat peguam, kami menyerahkan segalanya kepada mereka memandangkan sudah menjadi kes mahkamah.
“Oleh itu, kami memilih untuk tidak membuka mulut mengenai perkara ini. Itu saja yang dapat kami jawab ketika ini. Terima kasih,” katanya.
Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu dan belum dikurniakan cahaya mata.
Sebelum itu, pada 3 November lalu, Fahmi mendakwa isterinya ‘dilarikan’ oleh bapanya ketika terbabit dengan penggambaran sebuah drama dan tidak pasti di mana isterinya berada.
Dia bagaimanapun mengesyaki Nynaa kini berada di kediaman keluarga mentuanya di Johor.
Fahmi seterusnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung kejadian terbabit dan meminta pihak polis menyelamatkan isterinya yang dakwanya, dilarikan secara paksa.