• Hanna

Kapten baru yakin Real Madrid akan menang sesuatu

11 Julai 2021

Marcelo yakin Real Madrid akan kembali memenangi trofi dalam musim baru ini selepas dia dinamakan sebagai kapten baru skuad kendalian Carlo Ancelotti itu.


Pertahanan kiri Brazil itu mengambil tanggungjawab berkenaan daripada Sergio Ramos -- yang memilih untuk meninggalkan pasukan gergasi LaLiga itu untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) -- dan berasakan dirinya 'amat-amat bertuah' untuk memakai lilitan lengan dalam perlawanan mendatang.


Pada usia 33 tahun, Marcelo berharap dapat menjadi tonggak utama di bawah kendalian jurulatih Itali, Ancelotti, yang kembali ke Santiago Bernabeu bagi menggantikan Zinedine Zidane selepas kempen hambar musim 2020-21.


Marcelo berkata: "Kami sedar betapa sukarnya untuk menempuh satu musim tanpa memenangi sebarang gelaran tetapi kami telah berjuang sehingga ke penghujung musim itu.


"Saya pasti kami akan memenangi sesuatu. Saya berasa amat gembira, kami masih mempunyai pemain yang akan kembali daripada tugasan antarabangsa atau daripada bercuti tetapi kami amat bermotivasi untuk memulakan musim ini.


"Ia merupakan satu penghormatan dan tanggungjawab yang amat besar untuk menjadi kapten kelab terhebat di dunia ini. Saya benar-benar amat bertuah," katanya.