top of page
  • newsatmy

Kastam rampas 16 tan pil captagon RM5.2 bilion

23 Mac 2021 NILAI: Kastam Diraja Malaysia menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa membabitkan rampasan 16 tan pil captagon dianggarkan bernilai RM5.2 bilion di Pelabuhan Klang, Selangor.


Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, berkata sindiket terbabit memasukkan dadah berkenaan dalam roda troli bertujuan mengabui pihak berkuasa.

"Susulan maklumat perisikan diterima daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, sepasukan anggota kastam dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam menyita tiga kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Klang pada kira-kira jam 4 petang 15 Mac lalu.


"Hasil pembongkaran menjumpai kira-kira 94.8 juta pil captagon disyaki mengandungi dadah jenis Amphetamine dengan anggaran berat kasar 16 tan bernilai kira-kira RM5.2 bilion yang disorokkan dalam roda troli.


"Hasil siasatan awal mendapati kontena itu tiba dari sebuah negara Asia Barat dan dipercayai untuk dihantar ke negara di Asia Timur.

"Kotak yang dirampas mengandungi dadah berkenaan didapati diisytiharkan sebagai roda troli," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Kastam Kampung Jijan, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Risikan dan Operasi) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad.

Abdul Latif berkata, sindiket terbabit dipercayai menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dadah dibawa ke negara ketiga.

Beliau berkata, rampasan 16 tan pil captagon itu yang terbesar pernah direkodkan Kastam setakat ini.


"Kejayaan rampasan dadah terbesar ini hasil kerjasama Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.

Sementara itu, Abdul Latif berkata, pada tahun 2019, Kastam merampas 4.75 tan dadah bernilai RM790 juta dan pada tahun lalu, sebanyak 2.86 tan dadah dirampas bernilai RM117 juta.


Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai membantu kastam memerangi jenayah penyeludupan membabitkan dadah, rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan.

"Kegiatan penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya. -BH Online

bottom of page