top of page
  • newsatmy

KATA MP | Wartakan kompaun sebagai pilihan terakhir

20 Mac 2021

Pembentukan Pasukan-pasukan Penguatkuasaan Pelaksanaan SOP dan arahan kepada pihak berkuasa kesihatan dan polis untuk mengeluarkan kompaun sebagai pilihan terakhir setelah nasihat dan arahan tidak diendahkan adalah dialu-alukan dan disokong.


Saya menyeru agar perkara-perkara ini dimasukkan ke dalam undang-undang kecil SOP. Kerajaan masih perlu menangani isu kesahan kompaun-kompaun yang telah dikeluarkan setakat ini dan yang akan dikeluarkan pada masa akan datang.


Saya menyambut baik pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan semalam bahawa pasukan-pasukan pelaksanaan SOP akan dibentuk dan pihak berkuasa kesihatan dan polis akan diarahkan untuk hanya mengeluarkan kompaun sebagai pilihan terakhir setelah nasihat dan arahan mereka tidak dipatuhi.


Ini adalah bahagian terpenting dalam pengumuman menteri, bukannya yang berkaitan kompaun berperingkat dan diskaun kompaun. Hampir semua rakyat Malaysia akan mematuhi SOP sekiranya diberi amaran dan diingatkan oleh polis untuk mematuhi SOP dan dengan itu, tidak ada keperluan untuk mengeluarkan kompaun.


Sebelum ini saya sudah mencadangkan agar kompaun dikeluarkan hanya setelah amaran diberikan dan ia tidak diendahkan sejak kenyataan media pertama saya pada 30 Januari 2021 mengenai kompaun yang dikeluarkan oleh polis.


Saya meminta menteri untuk memasukkan bahagian ini dalam peraturan SOP yang akan diwartakan.


Sekiranya ia tidak diwartakan, ia akan menjadi janji kosong sahaja seperti apa yang dilakukan oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengenai kompaun RM10,000,00.


Pada mulanya dia mengatakan bahawa kompaun RM10,000.00 hanya dikenakan ke atas pesalah-pesalah berulang dan mereka yang didapati menyebarkan Covid-19 tetapi kemudian bertukar pendirian mengatakan bahawa kompaun RM10,000.00 terpakai untuk semua kes.


Menteri, bagaimanapun, gagal menjawab isu terpenting yang saya bangkitkan, iaitu kompaun yang dikeluarkan oleh polis, pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau pegawai kementerian lain selain Kementerian Kesihatan adalah tidak sah atas alasan berikut:


(i) Di bawah Akta 342 hanya Ketua Pengarah Kesihatan dan pegawai kesihatannya yang diberi kuasa olehnya (mengikut peraturan tafsiran Ejusdem generis [sama jenis]) yang diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun berkenaan.


Sebagai contoh, di bawah Akta Perikanan, hanya pegawai-pegawai perikanan yang diberi kuasa untuk mengendalikan kes-kes perikanan dan mengeluarkan kompaun berkenaan.


Begitu juga kompaun tempat letak kereta hanya boleh dikeluarkan oleh pegawai kerajaan tempatan. Polis tidak dibenarkan berbuat demikian. Polis dipanggil untuk membantu kementerian lain hanya untuk membantu menjaga keamanan dan ketenteraman awam.


(ii) Seksyen 25 Akta 342 seperti yang dipinda oleh Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dengan jelas menyatakan bahawa kompaun hanya dapat dikeluarkan dengan keizinan secara bertulis daripada Pendakwa Raya.


Saya difahamkan bahawa kompaun yang dikeluarkan setakat ini dilakukan tanpa keizinan bertulis daripada Pendakwa Raya.


Oleh itu, saya meminta menteri untuk mengisytiharkan bahawa semua kompaun yang telah dikeluarkan bukan oleh pegawai kementerian kesihatan dan/atau tanpa keizinan bertulis Pendakwa Raya adalah tidak sah dan ditarik balik.

bottom of page