• newsatmy

KBS komited laksanakan LTdL tahun ini - Menteri

27 Januari 2022

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam memastikan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022, dapat dilaksanakan pada tahun ini.


Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan syarikat penganjur Human Voyage pada Rabu.


Ahmad Faizal juga memaklumkan, akan mengadakan perbincangan yang seterusnya bersama pihak PKBM selepas sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, bagi merungkai perkara yang perlu ditambah baik bersempena penganjuran perlumbaan berprestij itu.

Beliau pada masa sama berharap agar syarikat besar dan korporat dapat menaja LTdL kali ini.


"Kita akan berkerjasama untuk mendapatkan penajaan LTdL ini...Saya juga harap pihak media dapat mempromosikan LTdL yang akan kita laksanakan pada kali ini, kerana ia adalah kejohanan yang dapat menempa nama di peringkat antarabangsa, serta akan ramai atlet daripada luar akan datang ke sini dan kenal dengan negara kita," katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan atlet dan jurulatih di sini.


Isnin lepas, KBS mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima permohonan rasmi daripada Human Voyage untuk menunda perlumbaan itu, yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 10 Mac kepada 18 hingga 26 Jun depan.


Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana LTdL 2022 dijadual berlangsung esok (27 Jan), untuk membincangkan perkara tersebut bersama-sama PKBM dan Human Voyage.


Sementara itu, Ahmad Faizal menyambut baik langkah dibuat juara badminton remaja dunia Goh Jin Wei, yang mengemukakan rayuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam, berikutan penggantungan selama dua tahun ke atasnya.


"Satu tindakan yang positif, saya harap Jin Wei bersama BAM akan capai satu penyelesaian demi kebaikannya dan badminton, serta dapat jaga imej negara," katanya.


Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh memberitahu Bernama bahawa pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja Dunia 2018, telah menghantar surat rayuan berkenaan melalui e-mel semalam.


Jin Wei, mengumumkan persaraan dan keluar dari BAM pada September tahun lepas sebelum bergerak sebagai profesional, digantung daripada beraksi di mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 31 Okt 2021.




-- BERNAMA