top of page
  • cik skod

KBS komited pastikan sukan negara pada tahap terbaik


KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) senantiasa komited untuk memastikan sukan di Malaysia berada pada tahap terbaik.


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata antara usaha yang dilakukan termasuk memastikan atlet di peringkat akar umbi mendapat kemudahan latihan yang secukupnya.

“Sejak tahun lalu sehingga kini KBS telah membelanjakan lebih RM130.4 juta untuk membina kemudahan sukan baharu selain membaikpulih infrastruktur sedia ada di seluruh Malaysia.

“Selain itu, pihak kementerian juga sedia bekerjasama dengan setiap kerajaan negeri bagi mewujudkan prasarana sukan terbaik di seluruh Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Detik 30 Hari Menjelang SUKMA XX MSN 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Rabu.


Mengulas lanjut, penganjuran SUKMA edisi ke-22 di Kelantan, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM411 juta bagi pembinaan fasiliti serta kemudahan sukan.

Beliau difahamkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh telah bermula dengan perbelanjaan kos sebanyak RM276 juta.

“Kita bakal menyaksikan kewujudan aset sukan terbaik termasuk litar sukan bermotor dan beberapa keperluan asas lain seperti asrama penginapan atlet serta pegawai.

“Ini semua adalah antara usaha untuk melahirkan atlet terbaik negara,” katanya.


Faizal juga merakamkan ucapan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) di atas kerja keras untuk memastikan penganjuran SUKMA kali ini berjalan dengan lancar.

Katanya, KBS mengharapkan temasya SUKMA kali ini berlangsung dengan gilang-gemilang dan sesempurna mungkin.

“Jika boleh, jadikan penganjuran SUKMA pada kali ini sebagai yang terbaik sepanjang sejarah penganjurannya.


Dalam pada itu, Faizal berkata perkongsian maklumat dan perkembangan terkini mengenai SUKMA edisi ke-20 boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi SUKMA yang akan dilancarkan secara rasmi.

“Juga pentingnya hari ini ialah pengumuman mengenai beberapa rakan strategik yang bakal bersama-sama KBS dan MSN untuk mendokong cabaran menggemilangkan temasya SUKMA kali ini,” katanya.

bottom of page