top of page
  • newsatmy

KBS sedia bantu naik taraf pusat latihan angkat berat di Kesang Tua

16 NOVEMBER 2021

JASIN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menyalurkan peruntukan untuk menambah baik pusat latihan angkat berat di Kampung Kesang Tua bagi pembangunan sukan berkenaan di negara ini.


Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya akan mencari jalan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan garaj yang dijadikan gimnasium terbuka itu dapat dinaik taraf untuk kemudahan dan keselesaan atlet berlatih.


"Saya dapati ramai pihak di sini (Kampung Kesang Tua) yang mahu membantu kerana di sini juga telah meraih populariti selepas kejayaan atlet Filipina Hidilyn Diaz memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas terpaksa berlatih di sini.


"Kita melihat ia perkembangan positif apabila ramai anak muda yang datang, berminat untuk berlatih di sini dan saya turut dimaklumkan pihak Hidilyn dan jurulatihnya turut bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman sekali gus dilihat dapat menggilap serta melahirkan mereka yang berdisiplin, berpotensi untuk menjadi juara dunia," katanya yang ditemui pemberita di Kampung Kesang Tua di sini hari ini.


Terdahulu, Ahmad Faizal diiringi Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail melawat garaj yang dijadikan tempat latihan atlet angkat berat Filipina itu di kampung berkenaan.


Ahmad Faizal berkata pihaknya melihat peruntukan untuk menambah baik tempat itu tidak memerlukan kos besar iaitu dianggarkan RM100,000 selain akan bekerjasama dengan tuan rumah berkenaan memandangkan ia kediaman peribadi.


"Apa yang kita boleh lakukan ialah ambil alih secara sewaan jangka panjang dan ia tidaklah melibatkan kos yang tinggi tetapi akan memberi impak besar kepada sukan ini," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan Hidilyn kembali ke negeri ini pada Oktober lepas selain menyatakan hasratnya memberi dana peribadi kira-kira RM100,000 untuk membangunkan pusat latihan tersebut dan pada masa sama berharap agar ada pihak tampil membantu.


Nama Kampung Kesang Tua menjadi tumpuan selepas kemenangan atlet berusia 30 tahun itu pada temasya Olimpik Tokyo yang dikatakan terkandas dan menjalani latihan di Malaysia sejak Januari tahun lepas berikutan sekatan pergerakan akibat penularan COVID-19.


Kejayaaan wanita berasal dari Zamboanga City itu juga menjadi kebanggaan keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua yang menghabiskan masa bersama atlet itu lebih setahun lepas selain berkesempatan menghantar Hidilyn dan pasukannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas menyertai Olimpik Tokyo pada 18 Julai lepas.



-- BERNAMA

bottom of page