• admin

KDNK Malaysia berkembang 5.1 peratus pada 2022


KUALA LUMPUR,30 Sept: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang sebanyak 5.1 peratus tahun ke tahun pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.


Dalam Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia yang terkininya, katanya Indeks Pelopor (IP) pada Julai 2022 menunjukkan prestasi ekonomi yang optimis pada bulan-bulan akan datang.


"IP mengekalkan pertumbuhan tahunan positifnya pada 4.1 peratus pada Julai 2022, walaupun lebih rendah daripada 5.3 peratus yang dicatatkan pada Jun 2022," katanya.

Bagi sektor luaran, katanya eksport Malaysia pada Ogos 2022 melonjak 48.2 peratus kepada RM141.3 bilion manakala import meningkat 67.6 peratus kepada RM124.4 bilion.


Dari segi prestasi pasaran buruh, bilangan penduduk bekerja meningkat 4.5 peratus kepada 15.98 juta pada Julai 2022 manakala kadar pengangguran dicatatkan pada 3.7 peratus.


Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Julai 2022 meningkat sebanyak 12.5 peratus tahun ke tahun, dengan sektor pembuatan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM148.4 bilion, naik 23.8 peratus berbanding tahun lepas.


Nilai jualan sektor perdagangan borong dan runcit juga meningkat 41 peratus tahun ke tahun kepada RM130.7 bilion pada Julai 2022.


Mengenai komoditi, pengeluaran buah tandan segar meningkat 3.8 peratus kepada 8.87 juta tan pada Ogos 2022 manakala pengeluaran getah asli merosot sebanyak 21.8 peratus kepada 38,006 tan pada Julai 2022.


Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pada Ogos 2022, masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 4.7 peratus dan 6.8 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

-- BERNAMA