top of page
  • admin

Keadaan ESSZone lebih baik, tambah keyakinan penggiat industri kreatif


SEMPORNA, 2 Okt- Situasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) pada ketika ini dilihat semakin baik dengan pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan bagi terus memperkukuhkan kawalan keselamatan di kawasan itu. Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata keadaan itu memberi keyakinan kepada masyarakat termasuk sektor pelancongan serta industri kreatif. "Saya melihat semula kawasan ESSZone setelah saya tinggalkan sebagai Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dulu tahun 2013 hingga 2014, di mana saya melihat terdapat banyak kemajuan, kerajaan membina banyak pos-pos keselamatan di kawasan adanya pusat peranginan serta kawasan berpenduduk,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pos keselamatan di Pulau Pom Pom di sini, semalam. Mohammad dan rombongannya turut melawat Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah berhampiran Pulau Timbun Mata di sini bagi meninjau prasarana dan kemudahan komunikasi di kawasan berkenaan.


Sementara itu, Mohammad berharap pihak berkaitan dapat membantu mempermudah prosedur permohonan syarikat produksi luar negara yang berminat untuk menjalankan penggambaran khususnya di ESSZone. "Setiap permohonan diterima itu perlu diproses dengan segera, dengan itu kita nampak lebih efisien, kita memudah cara, jangan hampakan orang. "Kita bagi kemudahan, apabila orang berpuas hati, lebih ramai lagi berminat datang ke sini, bukan sahaja sebagai pelancong tapi pemain industri kreatif yang ingin berkarya membuat penggambaran di kawasan ESSZone," katanya lagi. ESSZone merangkumi 10 daerah meliputi keluasan 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau dengan daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. - BERNAMA

bottom of page